BACHOK: Penerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Mumtaz Md Nawi hari ini turun padang ke tempat operasi mencari dua orang mangsa lemas di Pantai Tok Abas Kampung Nipah dekat sini hari ini.
Beliau turut menenangkan anggota keluarga mangsa terbabit dalam tempoh lawatan itu hampir setengah jam dan seterusnya ke Pantai Irama Bachok.
Semalam, dua remaja berusia 15 tahun dari Maahad Tahfiz Sain Nipah dekat sini masih hilang dikhuatiri lemas selepas mandi bersama lima lagi rakan mereka di pantai Kampung Nipah, kira- kira jam 3 petang.
Seorang dari dua mangsa yang masih hilang ialah Ilham Mohd Hafiz telah ditemui kira-kira pukul 10.15 pagi tadi, manakala rakannya Mohd Aiman Che Hashim masih belum ditemui.
Ilham merupakan anak ke lapan dari 10 orang adik-beradik.
Dua mangsa dikatakan mandi bersama lima lagi rakan mereka yang lain namun lima daripada mereka sempat diselamatkan nelayan yang melalui kawasan tersebut.
Mumtaz ketika ditemui menasihati ibu bapa serta orang ramai supaya mengawasi anak-anak mereka.
Katanya, ketika musim banjir ini kejadian yang buruk mudah berlaku.
“Saya juga nak nasihatkan anak-anak juga supaya tidak manda manda sama ada di sungai atau tepi laut.
“Pelbagai gejala buruk mudah diundang khususnya musim ini,” ujarnya.
Turut sama pada sesi lawatan itu, Adun Perupok, Mohd Huzaimy Che Hussin; Adun Tendong, Rozi Mohamad; Adun Tanjung Mas Rohani Ibrahim; Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar; dan Senator Khairiah Mohamed.
Sementara itu, lima sahabat yang selamat ialah Ahmad Daniel Mohd Azizi, Mohd Nafiz Irfan, Omar Saizam, Taiha Mohd Hatan, dan Daniel Hakim Mohd Sabri. – HARAKAHDAILY 22/1/2017