Murid jadi ujikaji format baharu UPSR

KOTA BHARU: Ekoran kemerosotan luar jangka keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini, kerajaan perlu mengkaji semula syarat-syarat kemasukan ke sekolah berasrama penuh.

Anggota Dewan Negara, Senator Khairiah Mohamed berkata kerajaan perlu mengkaji punca kejatuhan mendadak UPSR tahun ini, di mana hanya 1.11 peratus sahaja pelajar memperolehi A penuh.

Sedangkan katanya seramai 452,721 pelajar yang menduduki peperiksaan itu sebelum ini.

“Kerajaan perlu mengambil kira faktor pencapaian pelajar secara keseluruhan dan prestasi pelajar luar bandar terutamanya Bahasa Inggeris.

“Ramai pelajar luar bandar lemah mata pelajaran bahasa Inggeris, tetapi cemerlang subjek lain,” katanya di sini.

Keputusan UPSR yang dikeluarkan hari ini mengejutkan pihak sekolah dan ibu bapa sehingga tersasar daripada jangkaan awal.

Khairiah berkata pencapaian UPSR 2016 tidak boleh dibandingkan keputusan tahun lalu memandangkan perubahan soalan yang bersifat Keupayaan Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Kerajaan juga perlu mengkaji kelemahan dari sudut kebolehan tenaga pengajar, alat bantu mengajar dan infrastuktur asas pendidikan terutama di luar bandar,” katanya.

Menurutnya juga kerajaan perlu mengatasi segera kelemahan ketara yang berlaku pada UPSR tahun ini.

“Kita tidak mahu rakyat terbeban bukan setakat ekonomi sahaja, malah bebanan sistem pendidikan boleh membantut mereka keluar dari kemiskinan,” katanya.

Seorang ibu, Nooraisiah Deraman turut melahirkan rasa sedih di atas keputusan UPSR yang diumumkan.

Menurutnya, keputusan yang di luar jangka itu membuatkan anak-anak takut untuk meneruskan pengajian di peringkat menengah.

“Anak-anak kami bahan ujikaji format baharu peperiksaan yang mahu diperkenalkan menteri pelajaran. Inilah kesan perubahan perubahan dibuat tanpa kajian mendalam,” ujarnya.

Beliau berkata, kemerosotan yang berlaku secara jelas menggambarkan kegagalan menteri dan kementerian.

Nooraisiah turut mencadangkan Yayasan Islam Kelantan (Yik) menilai semula syarat kemasukan ke maahad pilihan memandangkan kemerosotan ketara UPSR tahun ini. – HARAKAHDAILY 17/11/2016

(Visited 5 times, 1 visits today)

Add Comment