TUMPAT – Kerajaan negeri memandang serius isu dibangkitkan penduduk setempat mengenai pengambilan kawasan penempatan penduduk di Kampung Laut bagi menjalankan projek Kampung Warisan yang akan dilaksanakan di bawah Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Setiausaha Politik Menteri Besar, Wan Roslan Wan Hamat berkata, beberapa kekeliruan menyebabkan isu pengambilan tanah itu menjadi sukar dan rumit.
Beliau turut menafikan penduduk tidak dimaklumkan lebih awal kerana dalam sesi soal jawab dan dialog semasa majlis Santai Anak Muda di sebuah kedai kopi pada 13 Oktober tahun lalu, turut mengemukakan perancangan untuk membangunkan kampung berkenaan sebagai Kampung Warisan.
“Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) juga ada menyebut mengenai perancangan kerajaan berkaitan Kampung Warisan ketika majlis santai di sebuah lagi kedai kopi pada 12 November tahun lalu,” katanya.
Menurut Wan Roslan, projek Kampung Warisan yang melibatkan pengambilan tanah seluas 0.9 hektar itu merupakan kawasan penempatan penduduk yang akan dibangunkan sebagai kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
“Semua pengusaha IKS di Kampung Laut seperti pengusaha dodol dan serunding akan ditempatkan di sini dengan melibatkan pembinaan kilang baru yang lebih tersusun.
“Projek ini dianggarkan menelan belanja mencecah RM30 juta, tidak termasuk kos projek tebatan banjir setinggi 6 meter yang akan dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di sekitar kampung berkenaan,” katanya.
Katanya lagi, penduduk terlibat dengan pengambilan tanah itu juga akan diberi penempatan baharu apabila kerajaan negeri menyediakan tanah lot seluas 1.2 hektar bagi menempatkan 10 hingga 13 rumah, termasuk sebuah surau.
“Melalui projek ini, sebanyak tujuh lot tanah melibatkan tanah jalan sedia ada apabila dinaiktarafkan tanpa melibatkan struktur yang lain,” katanya.
Wan Roslan berkata, kerajaan negeri juga sudah mengadakan satu perjumpaan bersama penduduk terlibat.
“Persetujuan telah dicapai antara pihak kerajaan dan penduduk dengan memperuntukkan wang pampasan dan satu lot banglo kepada yang terlibat. Dalam perjumpaan itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memberikan sagu hati kepada penyewa yang akan dibayar Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.
“Yang pasti dengan pembangunan ini, penduduk akan mendapat pelbagai kemudahan dan faedah, di samping merancakkan lagi kegiatan ekonomi penduduk sekitar,” katanya. [SINAR HARIAN]