KOTA BHARU: Tidak lagi ditemui di media massa berbahasa Melayu makluman kenaikan harga petroleum, yang menjadi agenda bulanan kerajaan Barisan Nasional (BN).
Sebaliknya sejak semalam lagi sudah diuar-uarkan di media sosial harga baru petroleum bagi Februari 2017.
Lebih malang lagi percaturan kerajaan BN dibuat ketika paras harga minyak dunia jatuh semalam ekoran aktiviti penggerudian minyak Amerika Syarikat.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah menyifatkan Malaysia sebuah negara hebat yang boleh melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan keluhan rakyat.
“Inilah kehebatan pemimpin negara yang mentadbir kerajaan sekarang menaikkan harga petrol dua kali dalam tempoh sebulan.
“Tak pernah berlaku sampai harga petrol dan diesel naik sampai dua kali dalam tempoh sebulan iaitu Januari lepas dan Februari,” katanya selepas mesyuarat Exco hari ini.
Berkuatkuasa jam 12.01 pagi tadi harga minyak RON 95 dinaikkan sebanyak 20 sen seliter menjadi RM2.30. Manakala RON 97 juga naik 20 sen kepada RM2.60. Harga diesel pula naik 10 sen menjadikan RM2.15.
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, kenaikan itu sebagai ‘hadiah’ sempena sambutan Tahun Baru Cina. – HARAKAHDAILY 1/2/2017