KOTA BHARU: Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata kerajaan Kelantan tidak pernah mendapat maklumat yang jelas berhubung apa yang berlaku terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
Oleh itu, jelasnya beliau amat sukar untuk membuat sebarang perkiraan bagi menangani masaalah yang ditanggung oleh persatuan dan pemain.
“Kita tidak tahu apakah beban atau apa saja yang berlaku di dalam Kafa sebenarnya.
“Sekiranya pihak Kafa dapat memberitahu secara jujur kepada peminat bola sepak tentang masaalah sebenar, ia dapat membantu,” ujarnya.
Tambahnya, kerajaan negeri Kelantan sejak dahulu sentiasa membantu berhubung perkembangan bola sak di negeri itu.
Jelasnya, hal ini kerana rakyat Kelantan amat berminat dengan sukan tersebut, malah merupakan sukan nombor satu bagi mereka.
“Bahkan melalui sukan bolasepak ini rakyat Kelantan boleh duduk bersama dan bersatu walaupun daripada parti yang berbeza,” ujarnya lagi.
Menurut beliau lagi kerajaan Kelantan telah menurunkan kadar cukai levi dan tidak mengenakan cukai hiburan. Namun, itupun tidak dibayar oleh Kafa kepada Perbadanan Stadium, milik kerajaan negeri.
Walau bagaimanapun kerajaan negeri tidak mendesak Kafa supaya melangsaikan hutang tersebut.
MB Kelantan berharap masaalah itu dapat diatasi dengan baik untuk kepentingan semua pihak.
“Insya-Allah kerajaan negeri akan membantu, kebetulan pula saya ialah Pengerusi Perbadanan Stadium negeri,” sambungnya lagi.
Empat hari lalu, Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afendi Hamzah berkata, pihaknya akan mengadakan kongres tersebut pada 29 Disember ini.
Katanya, kongres itu bertujuan untuk membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan pasukan itu dalam Liga Malaysia (Liga M), musim depan. – HARAKAHDAILY 20/12/2016