KOTA BHARU – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mencadangkan agar negeri-negeri lain mencontohi arahan kerajaan Kelantan menghentikan perniagaan ketika solat Maghrib.
Beliau berkata, arahan untuk menghentikan perniagaan selama 10 minit itu dilihat sebagai perkembangan yang sihat kerana ia memberi ruang kepada umat Islam untuk menunaikan tanggung jawab solat fardu.
Menurutnya, usaha itu adalah satu peraturan yang baik dan patut dihormati serta disanjung tinggi.
“Kita meniaga, paling utama, kita wajib patuh pada suruhan ALLAH. Kalau tak sembahyang, hukumnya berdosa dan usaha pun tidak ada keberkatan.
“Mereka kerja swasta pun ada peraturan buruh untuk memberi ruang pekerja Islam menunaikan solat Jumaat, ada peraturan khas.
“Begitu juga waktu Maghrib dan solat Jumaat, sama-sama fardu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang menjelaskan arahan memberhentikan perniagaan pada waktu Maghrib itu akan diperluaskan ke seluruh negeri Kelantan selepas ini.
Kenyataan itu mengundang kritikan beberapa pihak termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang menyifatkan langkah itu melanggar hak asasi.
Justeru, ahli DAP itu bakal mengambil tindakan undang-undang kepada kerajaan Kelantan. Mengulas kritikan Zaid itu, Mohamad Shukri berkata, sesiapa sahaja boleh mengkritik, tetapi teguran itu mestilah berhemah.
“Kenyataan negatif mengenai arahan berhenti niaga selama 10 minit sepatutnya tidak berlaku, sebaliknya amalan ini seelok-eloknya menjadi ikutan kepada negeri lain.
“Bagi mereka yang mahu beri kritikan, mereka boleh beri pandangan kerana ada ruang untuk mengkritik, tetapi biarlah kritikan itu munasabah dan membina,” katanya.
Reaksi masyarakat Cina di negeri Kelantan
-sinar harian