M FAQIH

LOJING: Masyarakat Orang Asal yang tinggal di sini tidak pernah disisih, malah sentiasa diberi peluang bekerja di ladang sayur diusahakan pelbagai syarikat.
Begitu juga di projek pertanian Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK) di Pos Jedip turut mengutamakan masyarakat terbabit untuk mencari rezeki.
Projek pertanian di situ sedang dibangunkan dengan kerjasama syarikat Golden Julian Sdn Bhd.
Sekarang kerja-kerja meratakan tanah sedang giatkan dijalankan. Kerja meratakan bukit tersebut dijalankan selepas mendapat kelulusan penilaian alam sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi berkaitan.
Ketika tinjauan dilakukan baru-baru ini kerja-kerja meratakan tanah dilakukan lebih berhati-hati bagi mengelakkan tanah runtuh.
Kontraktor juga menggali kolam takungan di setiap lurah bukit bagi mengelakkan kelodak dibawa arus ketika musim hujan.
Kolam di tengah-tengah tebing takungan tersebut disediakan saluran paip bagi membolehkan air hujan yang bertakung mengalir ke anak sungai.
Air hujan terlebih dahulu dialir melalui rumpun-rumpun buluh dan hutan kecil yang menjadi zon penampang.
Selut dan mendapan yang terperap di dasar kolam kemudian digali semula bagi mengelakkan kolam tersebut tertimbus.
Sebelum tiba di lokasi kerja-kerja tanah, masih kelihatan pokok durian milik penduduk Orang Asal. Kebun tersebut tidak diusik syarikat biar pun terletak tidak jauh dari ladang mereka.
Ini membolehkan penduduk Orang Asal memungut durian ketika musim berbuah.

Pengurus ladang sayur terbabit, Choi berkata biar pun menggunakan tenaga kerja dari Bangladesh, namun penduduk Orang Asal tidak dipinggirkan.
“Kami akan mengambil mereka bekerja di ladang bagi memunggut lada benggala apabila matang nanti.
“Sekarang masih lagi di peringkat penyediaan infrastruktur ladang. Lebih 2 ekar sudah ditanam pokok lada benggala yang dimulakan awal Oktober lepas,” katanya.
Wakil syarikat Golden Julian, Kamarudin Yunus berkata pihaknya turut merancang membantu masyarakat Orang Asal meningkatkan ekonomi melalui program agro pelancongan.
Katanya, sekarang belia Orang Asal yang tinggal berdekatan menjadi pemandu pelancong membawa mereka menjejaki lokasi bunga Raflesia di kawasan tersebut.
Menurutnya sebelum ini pelancong yang ingin melihat bunga terbesar tersebut terpaksa berjalan kaki selama dua jam sebelum sampai ke destinasinya.
“Sekarang boleh mengambil masa hanya sejam selepas jalan dibaiki bagi membolehkan dilalui kenderaan pacuan empat roda.
“Kami juga merancang membina kios di tepi jalan utama bagi membolehkan Orang Asal menjual hasil kraftangan,” ujarnya.

Oleh itu Kamaruddin berharap penduduk Orang Asal merebut peluang tersebut. Ia menggambarkan kerajaan sentiasa mengutamakan masyarakat terbabit.
“Bukan tidak ada peluang penduduk Orang Asal mencari rezeki di kebun sayur-sayuran sekitar Lojing, sebaliknya ada dalam kalangan mereka yang enggan merebut peluang,” katanya.
Menurutnya juga masalah yang timbul sebelum ini ada Orang Asal yang bekerja di ladang sayur-sayuran tidak mengikut peraturan ditetapkan syarikat.
Kata beliau ada kalangan mereka yang datang lewat dan mengharapkan upah tinggi tidak setimpal dengan kerja dilakukan.

Pegawai Korporat YTK Wan Abu Hasan Wan Ibrahim berkata kerja kerja tanah lambat dimulakan kerana terpaksa menunggu dalam tempoh lama untuk mendapat laporan EIA.
Katanya peraturan ketat agensi berkaitan dan jabatan lain perlu dipatuhi bagi memastikan pembangunan di Lojing terkawal.
“Sebab itulah projek pertanian di kawasan milik YTK di sini mengambil masa untuk dimulakan biarpun perjanjian dengan syarikat pemaju sudah lama dilakukan,” katanya.
Projek berkenaan diusahakan Golden Julian di kawasan seluas kira kira 400 ekar. Bagaimanapun kawasan yang boleh ditanam hanya seluas 200 ekar disebabkan kecerunan tanah.
Menurutnya juga berkata kerja-kerja tanah yang dijalankan dipantau ketat JAS dan agensi lain.
Katanya pegawai JAS sering datang meninjau kerja-kerja yang dilakukan bagi memastikan peraturan dipatuhi.

Kata beliau pihak syarikat perlu memastikan ada zon penampan untuk menapis air ketika hujan bagi mengelak kelodak turun ke anak sungai.
“Banyak zon penampan disediakan. Selut yang dibawa hujan tidak turun ke anak sungai kerana disekat kolam takungan yang disediakan.
“Pokok-pokok hutan masih dikekal di zon penampan sebagai benteng mengelak hakisan berlaku,” katanya.
Syarikat terbabit juga memasang plastik di lereng bukit yang disodok bagi mengelak hakisan. Selain itu tanaman kekacang penutup bumi juga ditanam.
Sebelum ini ada pihak yang cuba menggambarkan penduduk Orang Asal tidak mendapat pembelaan kerajaan negeri.
Malah mereka juga mendakwa pembukaan tanah dilakukan tanpa kawalan. Namun dakwaan tersebut meleset kerana pemantauan ketat dilakukan agensi kerajaan. [HARAKAH]