Orang Asli: Tohmahan pemimpin PH tersasar

GUA MUSANG: Hari ini Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti menafikan tohmahan awal pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang menyifatkan kematian penduduk Orang Asli berpunca pencemaran sungai akibat perlombongan mangan.

Air mineral dibekalkan NGO kepada penduduk Orang Asli.

Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilapor berkata, Jabatan Kimia mendapati air yang diuji di sekitar lombong mangan dan tempat tadahan air bukit mematuhi standard kualiti air minum kebangsaan.

Malah katanya, tiada pelepasan sisa lombong bijih mangan ke dalam sungai.

Penyelia Dun Paloh Ustaz Azman Ahmad berkata, telahan awal kerajaan negeri dan NGO kematian penduduk Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh bukan berpunca pencemaran sungai sekarang menjadi kenyataan.

Katanya, penelitian yang dibuat Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum ini sudah menjelaskan situasi sebenar.

“Namun pemimpin PH masih lagi mahu menunding jari kepada kerajaan negeri dengan mensasarkan lombong mangan tidak jauh daripada penempatan Orang Asli sebagai punca.

“Nampak jelas isu tersebut cuba dipolitik pemimpin PH, sedangkan faktor sebenarnya kurang kemudahan asas di penempatan tersebut terutamanya aspek kesihatan kurang mendapat perhatian agensi berkaitan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Pengerusi PH Kelantan Dato’ Husam Musa dilapor berkata, kewujudan lombong berhampiran penempatan Orang Asli di Kuala Koh dikhuatiri mencemarkan sumber air.

Presiden Kelantan Care Nazman Che Iberahim mengucap syabas dan tahniah di atas keprihatinan Timbalan Perdana Menteri turun ke Kuala Koh hari ini.

Katanya, Dr Wan Azizah memberikan pencerahan yang terbaik kepada polemik dan isu berkaitan kematian Orang Asli Kuala Koh.

“Sejak tiga minggu lepas, pelbagai pihak dilihat menuding jari dan cuba menyalahkan kerajaan negeri. Ramai yang secara semberono mengaitkan ia dengan aktiviti pembalakan dan juga perlombongan.

“Ramai ahli politik pro-PH membina persepsi jahat kononnya pihak kerajaan negeri sengaja membiarkan operator dan pengusaha lombong untuk mencemarkan air sungai,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/6/2019

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/11470-orang-asli-tohmahan-pemimpin-ph-tersasar

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment