Orang luar jadi dalang sindiket

webmaster

IMG_8463KOTA BHARU – Kerajaan negeri menyedari berlakunya pencerobohan haram di hutan simpan kekal, namun menghadapi kekangan untuk mengatasi masalah yang berlarutan sekian lama.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, antara yang menjadi masalah kepada pihaknya apabila aktiviti haram berkenaan melibatkan sindiket didalangi orang luar Kelantan.

“Dalang-dalangnya berada di luar Kelantan, tetapi oleh kerana ada duit mereka menggunakan orang tempatan untuk penerokaan haram, tebang kayu dijual dan tanam kelapa sawit getah dan sebagainya.

“Saya pun menerima maklum daripada Jabatan Perhutanan, itulah yang kita hadapi sejak dulu lagi. Penerokaan haram bukan hanya dilakukan orang kampung,” katanya mengulas pencerobohan haram di Hutan Simpan Kekal Ulu Galas, Gua Musang yang diserbu pihak berkuasa kelmarin.

Beliau ditemui sempena Majlis Makan Tengahari bersama Media di sebuah hotel di sini.

Menurutnya,  penglibatan penduduk kampung adalah dalam skala kecil dan sebahagian besarnya tidak ada tanah, yang mana kerajaan boleh berbincang untuk selesaikan keperluan rakyat.

“Ada dua tiga kes kita sudah siapkan dan ada yang didakwa di mahkamah. Cuma sindiket ini tidak berada di dalam, ia berada di luar Kelantan, kalau kita tangkap pun kita tangkap pekerja, jadi tauke yang sebenar dan mastermind itu, tidak dapat dikesan.

“Ini antara masalah, dan kita tahu orang ini ada di Kuala Lumpur. (Kalau) kita mahu tangkap kena ada bukti yang cukup untuk dibawa ke mahkamah,” katanya.

Mohd Amar berkata, pihaknya tidak berdiam diri dalam soal itu dan Task Force khas ditubuhkan sejak tiga tahun lalu bagi mengatasi masalah yang sentiasa berulang lebih 10 tahun lalu sehingga merugikan kerajaan.

“Task Force kita dah tubuh dan kita sudah buat beberapa langkah  masa arwah Tok Guru ada lagi. Tetapi mahu dapatkan bukti konkrit untuk dihadapkan ke mahkamah itu yang menjadi masalah.

“Antara strategi peneroka ini, guna nama besar. (Guna) nama Sultan sedangkan baginda sendiri tiada sebarang hubungan dengan apa yang berlaku,” katanya.

Tidak berkompromi dengan apa yang didedahkan media kelmarin menerusi serbuan di Gua Musang itu, kerajaan negeri mencuba mendapatkan maklumat lengkap untuk mengheret dalang-dalangnya ke mahkamah.

“Tetapi benda ini sentiasa berulang sebab berlaku tengah hutan. Cuba bayangkan masuk berpuluh-puluh batu tengah hutan.

“Aktiviti dalam hutan siapa yang tahu. Kalau tidak ada maklumat mana kita tahu kecuali kita menggunakan alat. Dari luar tidak nampak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Tanah, Pelaburan dan Sumber Asli negeri berkata, sindiket yang berlaku adalah pencerobohan untuk membina ladang, melaksanakan projek dan ada sesetengahnya menjual tanah.

“Ada sesetengahnya, lukis atas kertas buat lot-lot, kemudian jual kepada orang awam. Ramai yang tertarik dan beli sebab harga RM3,000 dan RM5,000 biasanya orang boleh bayar,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai salah guna pengaruh kerabat dan juga mempunyai hubungan istimewa dengan wakil rakyat mahupun kerajaan negeri dalam kegiatan itu, Mohd Amar berkata, tindakan boleh dilakukan jika mempunyai bukti kukuh.

“Sebagai contoh kebenaran hutan simpan, tidak ada sesiapa pun boleh bagi kebenaran kecuali Jawatankuasa Kecil Perhutanan yang dipengerusikan oleh menteri besar dan hanya kelulusan dari JKKP sahaja yang sah.

“Ada yang guna papan tanda warna kuning, itu betullah. Siapapun tidak boleh guna nama sultan, yang guna pandai-pandai dia supaya orang tidak berani. Sultan pun tidak tahu,” katanya.

Selain itu, Mohd Amar juga memaklumkan pihaknya menghadapi masalah kekurangan penguat kuasa dan juga lojistik. – Sinar Harian

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Kelantan cadang lakukan pembenihan awan

KOTA BHARU – Kerajaan negeri bercadang untuk melakukan pembenihan awan dalam jangka masa terdekat dalam menghadapi kemarau yang panjang. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Hanifa Ahmad berkata, inisiatif itu dilaksanakan untuk menurunkan hujan di negeri ini. “Bila buat nanti kita doakan supaya ALLAH SWT turunkan hujan […]

Subscribe US Now