KOTA BHARU – Pas Kelantan sedang menyiapkan laporan untuk diserahkan kepada pusat yang seterusnya akan menentukan nasib Adun Salor, Datuk Husam Musa.
Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, laporan tersebut akan diserahkan dalam minggu ini setelah dipersetujui mesyuarat jawatankuasa harian parti yang diadakan semalam (kelmarin).
“Laporan dibuat melibatkan apa yang berlaku, ucapan dan kenyataan beliau sebelum ini dan serah kepada Pas Pusat.
“Kalau Pas negeri panggil pun, tak boleh buat apa, kita tengok macam mana, sebab yang layak bertindak hanya pusat, kita hanya boleh menyediakan laporan, “ katanya selepas mesyuarat mingguan Exco Kerajaan Kelantan, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Amar yang juga Naib Presiden Pas tidak menolak kemungkinan Husam seolah-olah sedang mengumpul alasan bagi menghalalkan segala tindakannya termasuk menyerang parti dan presiden.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai pencalonan bekas Naib Presiden Pas itu pada PRU akan datang, Mohd Amar berkata, ia terserah pada ahli di cawangan berkenaan yang lebih arif mengenai kelayakan calon di kawasan mereka.
“Berdasarkan pengalaman lepas, ahli di peringkat cawangan akan buat buat penilaian, kalau mereka rasa seseorang itu gagal mematuhi disiplin dan tidak sesuai diangkat sebagai calon, mereka akan bagi isyarat, kebiasaannya mereka yang lantang mengkritik dan melanggar disiplin susah nak naik,” katanya.
Mengulas tindakan kerajaan negeri yang dilihat terus berdiam diri dengan tindakan Husam, Mohd Amar berkata, penjelasan telah dilakukan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam sidang Dun baru- baru ini.
“Bagi kita ia bukan isu besar, sebab itu MB jawab dalam sidang dewan, dan jawapan MB sudah cukup, tak ada apa yang nak disembunyikan. Kita ambil forum yang sesuai untuk jawab, iaitu dalam sidang dewan dan mesyuarat parti, kita jelaskan di peringkat perhubungan, ahli serta wakil rakyat tentang isu yang dibangkitkan, setakat ini alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai jawatankuasa khas yang akan ditubuhkan untuk menyelaras gerak kerja dan bantuan banjir, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, ia bertujuan memastikan segala kerja dilakukan lebih tersusun.
“Jawatankuasa ini akan dipengerusikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi ini juga untuk menyelaras semua badan bukan kerajaan (NGO), sebab berdasarkan pengalaman sebelum ini ia agak tidak tersusun sama ada dari segi penyaluran bantuan, penghantaran dan sebagainya,” katanya. [SINAR HARIAN 19 NOVEMBER 2015]