Pasar raya terbesar beroperasi di Kota Bharu

KOTA BHARU: Kemampuan Bandar Kota Bharu muncul sebagai pusat membeli belah utama di Pantai Timur tidak mampu dinafikan lagi.

Malah ia juga menjadi tarikan kepada penduduk dari selatan Thailand datang membeli keperluan harian di sini.

Sebelum ini Kota Bharu terkenal dengan pelbagai kompleks membeli belah termasuk Tesco, KB Mall, Giant & Parkson, Mydin Mall.

Selain itu Billion Shopping Centre, Pantai Timur, Nirwana, Tunas Manja Group (TMG), Econjaya, The Store, Ceria dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun tidak lama lagi sebuah lagi pusat membeli belah bertaraf antarabangsa bakal beroperasi di Lembah Sireh.

Kini kerja-kerja terakhir menyiap kompleks membeli belah terbesar tersebut sedang giat dilakukan.

AEON Mall Kota Bharu dianggap yang keempat terbesar di negara ini dengan keluasan mencecah 1.3 juta kaki persegi (120,774 meter persegi).

Kompleks itu akan dilengkapi Pasar Raya AEON, butik fesyen, pusat sukan serta kedai perabot. Ia dijangka menawarkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pengerusi AEON Co. (M) Berhad Datuk Abdullah Mohd Yusoff memberitahu pusat beli-belah pertama di Pantai Timur itu menyediakan 178 lot perniagaan termasuk ruang perniagaan kepada usahawan kecil dan sederhana (IKS).

“Ia turut menyediakan 2,400 parkir kenderaan dan menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya di sini.

Sebelum ini ada pihak mempertikaikan pembangunan di Lembah Sireh kononnya tidak mendapat pulangan besar kepada kerajaan negeri.

Sedangkan sehingga kini kerajaan negeri mendapat pulangan sebanyak RM148.4 juta hasil pembangunan bandar baharu di Lembah Sireh yang dimajukan syarikat Liziz Sendeco Sdn Bhd. – HARAKAHDAILY 28/3/2016

(Visited 55 times, 10 visits today)

Add Comment