PASCA BANJIR – Kelantan hargai jasa Selangor

tmbazmin

SHAH ALAM : Kesungguhan kerajaan Selangor dalam membantu mangsa banjir di Kelantan baru-baru ini amat dihargai dan ini membuktikan kesepakatan yang kukuh antara dua buah negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Menurut Timbalan Menteri  Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, penglibatan kerajaan Selangor juga diikuti oleh Lembaga Zakat Selangor dalam usaha mendirikan rumah kekal kepada mangsa banjir di jajahan Kuala Krai.

Mohd Amar juga melahirkan rasa terima kasih kepada Menteri Besar Selangor Tuan Haji Mohamed Azmin Ali yang begitu peka dengan masalah yang dihadapi oleh Kelantan dalam soal membantu mangsa banjir.

“Alhamdulillah, dengan adanya bantuan dari kerajaan Selangor, kita dapat menyelesaikan beberapa tempat bagi mendirikan rumah kekal kepada mangsa banjir”ujar beliau.

Mohd Amar ditemui  ketika mengadakan kunjungan hormat terhadap Dato Menteri Besar Selangor Haji Mohamed Azmin Ali di Bilik Gerakan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini.

Hadir sama dalam kunjungan hormat tersebut Exco Negeri Kelantan Dato Abdul Fattah Mahmood, Dato’ Mejar(B) Md Anizam Abdul Rahman, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Pengarah Tanah Dan Galian Kelantan Dato Nazran Mohamad.

Dalam perbincangan tersebut turut disentuh berkaitan dengan Memorandum Kerjasama yang telah ditandatangani sebelum ini bagi memastikan kedua-dua pihak mendapat faedah terutamanya dalam aspek pendidikan, pengurusan air dan pertanian.

Mohd Amar juga berharap anak syarikat kerajaan Selangor dapat melibatkan diri dalam sektor pembangunan negeri Kelantan terutamanya berkaitan dengan pembinaan rumah mampu milik dan penglibatan dalam sektor pelancongan.

Sementara itu Mohamed Azmin ketika menyampaikan ucapan aluan berharap kerjasama antara Kelantan dan Selangor dapat dipereratkan lagi dalam pelbagai bidang.

“ Kerjasama antara dua negeri ini bukannya bersifat persaingan sebaliknya adalah saling bantu membantu”ujar beliau.

Beliau juga berharap rumah yang dibina oleh kerajaan Selangor bagi mangsa banjir di Kuala Krai dapat diserahkan sebelum Ramdhan supaya mangsa terlibat dapat berada dalam suasana yang selesa menghadapi ramadhan ini.-tmn

 

(Visited 4 times, 1 visits today)

Add Comment