KOTA BHARU – Jabatan Pendidikan Kelantan sentiasa memastikan tahap pendidikan pelajar di negeri ini terus cemerlang dan berdaya saing seiring perkembangan semasa.
Pengarahnya, Datuk Ab Aziz Abdullah berkata, jabatan sedar betapa pentingnya pendidikan dalam membantu merubah nasib dan masa depan generasi akan datang.
“Patik sekalian sedar Tuanku Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra menaruh harapan yang tinggi untuk melihat rakyat negeri ini mendapat kemudahan pendidikan terbaik.
“Pendidikan seimbang diberikan kepada semua pelajar termasuk golongan asnaf yang dibantu sebaik mungkin agar dapat keluar dari kepompong kemiskinan melalui pencapaian cemerlang dalam bidang pendidikan sekali gus mampu mengubah nasib diri dan keluarga,” katanya.
Ab Aziz berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Jabatan Pendidikan Kelantan di sini, semalam yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Khair Yusoff.
Dalam pada itu, Ab Aziz berkata, usaha gigih pelbagai pihak berjaya menyumbang kecemerlangan bukan sahaja di peringkat negeri malah sehingga ke peringkat kebangsaan.
Menurutnya, sehingga kini terdapat 134, 104 pelajar (menengah) dan 173, 002 (rendah) dengan 28, 993 guru di semua 590 sekolah di seluruh negeri.
Sementara itu, perasmian Kompleks Jabatan Pendidikan Kelantan yang dibina ditapak seluas 14.53 hektar disempurnakan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.
Baginda yang lengkap memakai kot dan bersongkok menyempurnakan gimik perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik merasmikan kompleks bernilai RM31.5 juta itu.
Baginda yang tiba kira- kira jam 10.30 pagi meluangkan masa lebih dua jam mengikuti sepenuhnya perjalanan majlis berkenaan sebelum meninggalkan perkarangan kompleks tersebut tepat jam 1 petang. [SINAR HARIAN 6 SEPTEMBER 2016]