PBSM KELANTAN SANTUNI 225 ASNAF, SEDIA AMBULANS MUSIM RAYA

KOTA BHARU – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Negeri Kelantan menganjurkan program tahunan Rezeki Sejuta Ummat bagi menyantuni dan menggembirakan golongan asnaf terpilih.

Pengerusinya Tuan Ghazali Tuan Long berkata 125 anak yatim piatu dari Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim (YAATIM) Taman Sabariah diberi baucer RM100 pembelian pakaian raya di Mydin Mall. Penerima dibawa petugas PBSM ke pusat beli belah tersebut pada 14 April.

“Program ini diadakan setiap tahun. Semalam, kita bawa anak yatim beli baju raya. Diikuti sumbangan zakat RM100 serta bakul makanan kepada 100 asnaf terpilih dari Kota Bharu dan program diakhiri Iftar Prihatin kepada petugas dan media pada hari ini (15 April),” jelasnya ketika ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Negeri PBSM Kelantan, Rumah Amal Tengku Muhammad Faris Petra, Jalan Mahmood, semalam.

Di samping itu, Tuan Ghazali juga meminta orang ramai cakna keselamatan jalan raya di sepanjang musim perayaan.

“Kita seru masyarakat memanfaatkan perkhidmatan ambulans yang disediakan oleh PBSM di Kandis Bachok sekiranya berlaku kecemasan melalui talian 999. Perkhidmatan Ambulans Hotspot ini adalah kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia dengan Bulan Sabit Merah Malaysia dan St. John Ambulans Malaysia,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pihaknya berjaya menyenarai 2500 anggota PBSM berdaftar di Kelantan.

Oleh itu, beliau menyeru pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) turut menggunakan sistem terkini untuk mendaftar keahlian anggota PBSM di peringkat sekolah rendah dan menengah agar selaras untuk memudahkan aktviti di peringkat negeri dapat dijalankan setiap tahun.

Tambahnya, fungsi persatuan di sekolah membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar perihal kesukarelawanan dan konsep pertolongan cemas.

Pautan

(Visited 5 times, 1 visits today)

Add Comment