BACHOK – Suatu tempat yang cantik boleh menjadi rosak dan hodoh jika kita tidak sama-sama bertanggungjawab menjaganya.
Penjagaan kebersihan boleh membawa kepada kesejahteraan kesihatan bukan sahaja kepada kita, tetapi kepada masyarakat keseluruhannya.
Demikian antara ingatan Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Datuk Dr Ramli Mamat sewaktu merasmikan program Setitis Darah Sekalung Jiwa peringkat DUN Perupok di Pantai Irama dekat sini.
“Daerah Bachok terutama di Pantai Irama ini dikenali sebagai bandar pelancongan Islam, namun suasana tidak bersih kerana sampah buatan manusia bukannya gambaran daripada Islam.
“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar semata-mata untuk mengurus sampah, sedang peruntukan itu boleh digunakan untuk tujuan lain untuk rakyat,” katanya.
Sejiwa kali pertama bagi tahun ini turut diserikan dengan acara basikalthon kelab basikal Bachok yang berbasikal sepanjang 5 kilometer menuju ke pantai tersebut.
Kelab ini ditubuh atas inisiatif ADUN Perupok, Mohd Huzaimie Che Husin yang berjaya mengumpulkan pelbagai peringkat usia menyertai aktiviti riadah ini.
Selain daripada acara rutin derma darah dan pelbagai kaunter pemeriksaan kesihatan menyeluruh secara percuma, Sejiwa kali ini turut diwujudkan mini zoo sekitar sepuluh ekor pelbagai peliharaan termasuk kera duku, landak kecil dan burung hantu kecil.
Mini zoo yang diusahakan oleh kelab Street of Ukhuwwah (SoU) ini ternyata menarik perhatian pengunjung terutama golongan kanak-kanak.
Manakala acara pentas secara berterusan dimeriahkan dengan persembahan buskers OKU, nasyid kumpulan Iltizam, persembahan Ekspresi Kalam, selain tazkirah, ceramah kesihatan dan demonstrasi pertolongan cemas oleh Angkatan Pertahanan Awam.
Yang turut hadir dalam acara perasmian itu ialah ADUN Tawang, Datuk Hassan Mahmod dan ADUN Jelawat, Abdul Aziz bin Kadir.
Oleh : Ibnu Muhaidin