Pejabat Tanah Lojing hampir siap dibina

LOJING: Urus tadbir pembangunan di tanah tinggi Lojing dijangka lebih berkesan apabila Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil (PTJK) Lojing berpindah ke bangunan baharu tidak lama lagi.

Kompleks bangunan kerajaan yang terletak di Pos Brooke tersebut akan juga menempatkan pejabat-pejabat agensi lain di Lojing.

Peletakan batu asas dan solat hajat pembinaan kompleks pejabat berkenaan diadakan pada 24 April 2014, kini bangunan berbentuk seperti masjid hampir siap sepenuhnya.

Kawasan seluas 85 ekar di lokasi beriklim sederhana sejuk tersebut akan menjadi pusat pentadbiran baharu di Lojing. Jajahan Kecil Lojing diwujudkan kerajaan negeri pada akhir 2010 merupakan jajahan ke-11 di Kelantan.

Ahli Majlis, Majlis Daerah Gua Musang Abdullah Husain berkata pejabat pentadbiran Lojing dijangka berpindah ke bangunan baharu di Pos Brooke tidak lama.

Katanya bangunan pejabat tersebut kini hampir siap sepenuhnya dibina di Pos Brooke. Turut dibina pejabat Kesedar.

“Lokasi baru itu terletak di tepi laluan utama jalan raya Gua Musang-Lojing. Ia terletak kira-kira 10 km daripada pejabat sementara yang digunakan sekarang,” katanya di sini.

Menurutnya Pejabat Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) Cawangan Lojing juga akan berpindah ke Eco R&R Lojing tidak lama lagi.

Kata beliau perancangan asal pejabat MDGM berpindah ke Eco terbabit esok. – HARAKAHDAILY 14/3/2016

(Visited 7 times, 1 visits today)

Add Comment