Pekerja asing diberi layanan istimewa?

KUALA LUMPUR: Kemasukan warga asing ke negara ini termasuk diterima mereka sebagai warganegara antara isu dibangkitkan Ahli Parlimen pada Sidang Dewan Rakyat semalam.

Dato’ Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS – Kubang Kerian) mempersoalkan mengenai 12,213 pekerja di sektor IT dan semikonduktor dari negara India dan Perdana Menteri menyatakan kesediaan menawarkan kewarganegaraan.

“Apakah kita gagal melahirkan pakar-pakar dalam bidang IT dan semikonduktor? Berapakah graduan IT yang berjaya dilahirkan setiap tahun sehingga kita terpaksa bergantung kepada pihak luar.

“(Mereka) mengambil kesempatan di atas bidang yang mempunyai pendapatan agak tinggi yang sepatutnya dikuasai oleh pekerja tempatan berbanding sektor-sektor pembuatan dan sebagainya,” ujar beliau.

Beliau mahu kerajaan mengawal dan menyelia untuk memberi ruang dan peluang kepada rakyat tempatan berbanding mengeluarkan pas atau permit pekerja, selain melihat punca syarikat-syarikat memilih jalan pintas menggaji warga asing.

Perkara sama dibangkitkan Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS – Kuala Krai) yang mempersoal sama ada kerajaan menyedari kehadiran pendatang asing kini bukan lagi menjadi pekerja, tetapi adalah tauke dan pemilik pasar atau pusat perniagaan.

Perkara itu katanya, hingga rakyat sendiri berasa seperti berada di luar Malaysia dan beliau mahu kerajaan melihat kesannya dari sudut keselamatan dan ekonomi negara.

Dalam jawapan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Mohd Azis Jamman (Warisan – Sepanggar) mengakui risiko yang wujud dan pihak Imigresen agresif memburu mereka itu selain memperkenalkan program ‘Rehiring’ supaya mereka mendaftar diri. -HARAKAHDAILY 20/7/2018

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
24Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment