Pekerja Asing : Optimumkan Tenaga Buruh Tempatan, Semak & Tambah Baik Dasar Pengambilan

webmaster

KENYATAAN MEDIA
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

24 Februari 2016 | 15 Jamadilawal 1437 H

PEKERJA ASING : OPTIMUMKAN TENAGA BURUH TEMPATAN, SEMAK & TAMBAH BAIK DASAR PENGAMBILAN

1. Dengan jumlah 6.7 juta orang warga asing sedia ada di negara ini samada berstatus berdaftar atau tanpa izin, sebarang kemasukan baru hanya akan melambakkan lagi golongan itu di negara ini dan sepatutnya Kerajaan perlu melakukan inisiatif untuk mengurangkan bilangannya justeru penggunaan tenaga buruh tempatan dapat dioptimumkan.

2. DUPP berpandangan bahawa ketidakcekapan Kerajaan dalam menguruskan maklumat berhubung keperluan tenaga kerja semasa menjadi salah satu faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini. Pada masa ini, kebanyakkan maklumat pasaran buruh adalah dikumpulkan oleh pelbagai agensi berdasarkan kepada keperluan masing-masing.

3. Ketiadaan pengkalan data bersepadu bagi memantau dan mengawal keperluan tenaga buruh dalam pasaran industri menyebabkan bilangan golongan itu tidak dapat dipastikan berpadanan dengan keperluan bahkan menjadi lambakkan pula.

4. Selain itu, ketiadaan dasar yang komprehensif dalam pengambilan pekerja asing dan pengambilan yang dibuat secara ‘adhoc’ juga memburukkan lagi keadaan berkaitan isu ini.

5. Kebergantungan yang tinggi kepada tenaga buruh asing yang berkemahiran rendah pula dapat menjejaskan produktiviti ekonomi negara dan mengakibatkan peningkatan pekali pekerjaan kepada KDNK.

6. Merujuk “Kertas Strategi 8 : Pasaran Buruh untuk Negara Maju”, bilangan pekerja asing berkemahiran rendah telah meningkat sebanyak 152% dalam tempoh 2000 hingga 2013. Pada tahun 2013, terdapat 2 juta pekerja asing yang berdaftar atau 17% daripada jumlah guna tenaga terutamanya dalam sektor pembuatan (36%), pembinaan (20%) dan pertanian (23%). Peratusan ini dianggarkan lebih tinggi iaitu 27% daripada jumlah tenaga kerja jika mengambil kira pendatang tanpa izin.

7. Walaupun negara mengalami guna tenaga penuh, sebanyak 57.4% daripada jumlah pengganguran pada tahun 2013 merupakan belia berumur antara 15 hingga 24 tahun – jumlah pengganguran pada 2013 adalah sebanyak 375,401. Daripada jumlah tersebut, sejumlah 5% adalah belia dalam umur persekolahan. Jika belia-belia ini dilatih dan diberi pendedahan khusus dengan peluang, imbuhan dan pendedahan yang sepatutnya, sudah tentunya para belia ini setelah berusia 18 tahun nanti sudah memiliki pengetahuan dan kemahiran khusus justeru dapat menampung kekurangan yang terdapat di dalam industri serta sektor yang benar-benar memerlukan pekerja. Oleh itu, kebergantungan kepada pekerja asing dapat dikurangkan.

8. DUPP menggesa Kerajaan mengkaji semula dan menambahbaik undang-undang serta akta yang bersangkutan dengan pekerja asing. Sebagai contoh dengan menghadkan serta menetapkan jumlah perkerja asing didalam sesebuah industri dan sektor; ia dapat mengurangkan lambakan pekerja asing seperti yang terjadi sekarang serta dapat menjamin peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

9. Kerajaan juga harus menggalakkan industri-industri terutamanya yang bergantung kepada buruh asing untuk mengambil anak-anak tempatan berkerja dengan memberi insentif-insentif tertentu sebagai galakan kepada mereka. Disamping itu juga Kerajaan juga harus mendedahkan kepada industri-industri tersebut kaedah serta teknologi terbaru yang mana majoriti industri-industri sebegini kebanyakkannya menggunakan kaedah tradisional dalam operasi mereka yang sememangnya menagih tenaga buruh asing untuk beroperasi.

10. Dengan kurangnya kebergantungan negara kepada tenaga buruh asing, negara juga dapat menyelamatkan sekurang-kurangnya sejumlah RM5 bilion akibat penghantaran wang oleh pekerja asing ke kampung halaman mereka. Dengan sejumlah wang yang begitu besar mengalir keluar dari negara, ia lebih bermanfaat jika digunakan untuk ekonomi negara serta dinikmati oleh anak-anak tempatan yang menggangur dengan memberikan peluang pekerjaan kepada mereka.

Sekian.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan,
Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP).

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

Kecuaian manusia penyebab kebakaran di Kelantan meningkat

KOTA BHARU – Cuaca panas dan kering berikutan fenomena El Nino dan kecuaian manusia, antara faktor utama yang menyebabkan peningkatan‎ kes kebakaran di negeri ini. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Azmi Osman‎ berkata, pihaknya merekodkan sebanyak 80 kes kebakaran pada bulan lepas dan ia meningkat kepada 86 […]

Subscribe US Now