KOTA BHARU: Pekida Kelantan hari ini menyerahkan memorandum kepada kerajaan negeri bagi menzahirkan sokongan penuh terhadap pindaan Rang Undang-undang Akta 355 Mahkamah Syariah.
Penyerahan tersebut diserahkan oleh Yang Dipertua Majlis Ayahanda Perked Kelantan, Kori Mohd Noor kepada Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah. Penyerahan dilakukan selepas Datuk Mohd Amar menyampaikan tazkirah di Medan Ilmu di sini.
Dalam sidang media sebelum penyerahan itu di Hotel Ansar di sini, Setiausaha Majlis Ayahanda Negeri Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, keputusan tersebut selepas mendapat persetujuan pimpinan pertubuhan itu.Katanya, pihaknya menyokong penuh pindaan tersebut yang bakal dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang dijangka diadakan penhujung bulan Oktober depan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
“Oleh sebab itu, saya mewakili ahli Pekida Kelantan menyeru kepada semua pihak termasuk Ahli Parlimen sama ada yang Islam atau bukan Islam untuk bersama menyokong usaha murni ini,” katanya.
Turut hadir dalam majlis ringkas itu Pengerusi Pekida Kelantan, Zainuddin Ahmad; Ketua Penerangan Pekida Kelantan, Nik Kahar Nik Abdul Kadir dan Ahli Majlis Tertinggi Pekida Malaysia, Mohd Nasir Mohd Salleh.
Drs Zainuddin turut menambah, asas sokongan tersebut sangat jelas kerana akur terhadap titah Yang Dipertuan Agung yang meminta institusi Mahkamah Syariah diperkasakan selain tuntutan agama Islam sendiri.
Beliau juga melahirkan dukacita terhadap segelintir sesetengah pihak khasnya orang Melayu yang sependapat dengan orang bukan Islam yang menentang pindaan bagi manfaat orang Islam.
“Bahkan kita terus dalam sikap kita iaitu bersabar serta memberi penjelasan dan kita tidak ambil pendekatan keras atau radikal dalam perkara ini, lebih kepada pendekatan muzakarah,” katanya.
Menurutnya, tugas pertama yang digalas selepas penyerahan itu ialah memberi penerangan di peringkat daerah bukan sahaja kepada ahli Pekida tetapi masyarakat secara umum. – HARAKAHDAILY 7/10/2016