KOTA BHARU: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa yang didakwa dibuli baru-baru ini kini menderita pula penyakit lenguh dan kebas tangan.
Bapanya Dr Zulkeflee Yaacob berkata, anaknya Aiman Hazim, 15 juga memberitahu masih lagi sakit di bahagian leher.
“Sekarang Aiman berada di bawah jagaan neneknya di Tawang kerana saya kembali ke kampus selepas lama bercuti menjaganya sebelum ini,” katanya dihubungi di Tanjung Malim.
Pada 7 April pelajar terbabit dilapor ditendang dua kali di leher oleh pelajar tingkatan empat sehingga menyebabkan tidak sedar diri.
Ekoran itu beliau dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II selama seminggu.
Berikutan kejadian tersebut Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Jaafar Ismail pada 10 April lepas memberitahu pelajar yang terbabit dalam pergaduhan di SMK Pengkalan Chepa digantung sekolah selama dua minggu.
Bagaimanapun surat pemakluman digantung persekolahan tersebut hanya diterima keluarga mangsa 17 April lepas, seminggu selepas kenyataan media dibuat JPN.
Dr Zulkeflee berkata ada sesuatu yang tidak kena terhadap penggantungan anaknya kerana dibuat tanpa prosedur yang betul.
Bekas guru Aiman pula memberitahu pelajar tingkatan tiga tersebut seorang murid yang jujur dan tidak nakal seperti pelajar-pelajar lain.
“Saya terkejut apabila mendapat tahu beliau ditendang sehingga pengsan. Sedangkan sepanjang saya mengenalinya dia seorang pelajar yang baik,” katanya.
Penderitaan Aiman juga mendapat simpati kerajaan negeri apabila diziarahi pegawai khas kepada Exco Pendidikan, Burhanuddin Ahmad baru-baru ini.
Pada kunjungan itu beliau turut menyampaikan sumbangan Datuk Dr Fadzli Hassan kepada bapa pelajar terbabit. – HARAKAHDAILY 22/4/2016