KOTA BHARU – Pelajar di Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh di sini dikejutkan dengan kebakaran di bangunan asrama perempuannya di sini petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, kebakaran dipercayai berpunca daripada bahagian stor tengah bangunan sebelum merebak ke seluruh bangunan.
Ketua Zon Kota Bharu Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Jamil Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 6 petang sebelum tiba di lokasi lima minit kemudian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kira-kira 50 peratus bahagian bangunan dua tingkat itu telah dijilat api.
“Kita berjaya mengawal kebakaran 10 minit kemudian dan mengelakkan api merebak ke bangunan lain yang berada rapat dengan asrama terbabit,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Kota Darul Naim serta Kota Bharu dengan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian.
Beliau berkata, tiaa kejadian tidak diingini berlaku kerana para pelajar madrasah berkenaan tidak berada di dalam bangunan terbabit.
“Setakat ini pasukan forensik kita masih menjalankan siasatan berhubung punca serta kerugian dalam kejadian tersebut,” katanya.