Pelatih PPWK paling ramai tamat latihan tahun ini

PENGKALAN CHEPA: Sejak diwujudkan pada tahun 2005 Pusat Pembangunan Wanita Kelantan (PPWK) mencatat sejarah apabila seramai 404 pelatih menamatkan latihan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, Mumtaz Md Nawi berkata, sebelum ini tidak sampai 300 pelatih menamatkan latihan setiap tahun.

Katanya, paling banyak pada tahun 2015 iaitu seramai 279 orang dan tahun 2014 pula 244 orang.

“Tahun ini paling ramai dalam sejarah sejak PPWK diwujudkan bagi memberi latihan kemahiran dalam bidang jahitan dan kraftangan lain,” katanya pada majlis graduasi PPWK 2016 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) semalam.

Perasmiannya disempurnakan isteri Menteri Besar Datin Siti Zabedah Abdul Hamid, hadir sama Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar, wakil-wakil rakyat dan Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita Kelantan, Zainiah Halim.

Tahun ini sebanyak tujuh kategori anugerah diperkenal bagi menghargai PPWK dan pelatih terbaik. Anugerah tersebut iaitu Anugerah Terbaik Parlimen, Anugerah Datin Tuan Sabariah, Gunting Emas, Jarum Emas, Datin Siti Zabedah, PPWK Cemerlang dan PPWK Harapan.

Anugerah tersebut masing-masing disampaikan isteri Allahyarham Tok Guru, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, Siti Zabedah dan Adun-Adun.

Majlis graduasi tersebut terpaksa diadakan sesi pagi dan petang disebabkan bilangan pelatih yang ramai. – HARAKAHDAILY 10/11/2016

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment