Pemangku Raja Kelantan tidak mahu rakyat berpecah

KOTA BHARU – Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra bertitah Baginda tidak mahu berlaku perpecahan dalam kalangan rakyat khususnya masyarakat Islam biar apa jua keadaan sekalipun.

“Beta kurang senang sekiranya berlaku sebarang perpecahan dalam kalangan rakyat beta. Sedangkan orang yang beriman itu adalah bersaudara dan diumpamakan sebagai satu badan sebagaimana maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim,” titah baginda.

Baginda berkenan merasmikan Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Kelantan 2017 yang diadakan di Kompleks Balai Islam Lundang dihadiri ribuan guru Kafa, bilal, siak di sini.

Titah baginda, konsep ta’aruf  dalam kemajmukan dengan cara mengikis prasangka dan salah faham serta saling menerima, berlapang dada mampu mencerna masyarakat bersatu padu.

“Rakyat Beta hendaklah berusaha mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan, kerana tiada gunanya kita mencapai kehebatan dalam bidang teknologi dan pembangunan fizikal sekiranya kita masih berpecah dan bertelingkah.

“Uruskanlah sensitiviti dengan penuh toleransi sehingga beroleh kejayaan yang eksklusif dan inklusif lantas melahirkan konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Rasulullah SAW telah menjadi teladan sebagai mursyid dan murabbi kepada kita dalam memperkukuhkan ukhuwah sesama umat Islam ,” titah baginda lagi.

Menyedari kepelbagaian masyarakat di Malaysia termasuk Kelantan, Baginda menyarankan agar umat Islam pada masa kini bijak memanfaatkan setiap medium yang ada dengan  menunjukkan keindahan Islam dan dakwah secara langsung atau tidak.

“Pastikan kedudukan akidah dan syariah berdasarkan prinsip ahli sunah wal jemaah terus dipertahankan di negeri kira dan negara kita yang tercinta,” titah baginda.

Dalam masa sama, baginda juga menzahirkan kegembiraan dengan  usaha berterusan pentadbir di peringkat nasional dan negeri yang memberi ruang kepada perkembangan serta praktikal agama Islam secara maksimum.

“Begitu juga gerak kerja para pendakwah yang terdiri daripada iman, ustaz, ustazah, guru agama, takmir, guru sekolah, guru pondok, guru tahfiz, pensyarah dan seumpamanya yang telah menjadikan rakyat Beta lebih dekat kepada Islam,” titahnya.

Pada program tersebut semalam, Kerajaan Persekutuan melalui Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapa menyerahkan replika cek berjumlah RM76,102,048 juta kepada  Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi untuk imbuhan bilal, siak, guru Kafa dan Takmir di Kelantan. – sinar harian

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment