KOTA BHARU: Jabatan Perhutanan menjelaskan Pensijilan MS ISO 9001:2008 berkaitan pengurusan pengeluaran kayu secara berkekalan di hutan simpan kekal di Kelantan sah sehingga 14 September 2018.
Pensijilan MS ISO 9001:2008 bermula 21 September 2016 menjelaskan aktiviti pembalakan di negeri tersebut mengikut piawaian kualiti dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Oleh itu, Jabatan Perhutanan Negeri menyangkal dakwaan sesetengah pihak pensijilan itu ditarik balik disebabkan kelemahan pengawalan dan pemantauan aktiviti pembalakan di Kelantan.
Pengarahnya, Datuk Zahari Ibrahim berkata proses penarikan pensijilan pengurusan hutan Malaysia Criteria and Indicator (MC&I) hanya disebabkan ketidakpatuhan hanya satu petunjuk dalam kriteria sahaja.
“Manakala lain-lain kriteria dan petunjuk didapati pematuhannya dilaksanakan,” katanya pada satu kenyataan di sini.
Baru-baru ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu Sijil Skim Pensijilan Kayu Balak Malaysia (MTCC) di Kelantan dan Johor ditarik balik kerana melanggar beberapa syarat ditetapkan.
Antaranya pelanggaran syarat penebangan iaitu tidak mematuhi kod kawasan penebangan.
Sijil berkenaan dibuat untuk membolehkan kayu balak yang ditebang dieksport ke negara-negara Eropah dengan harga tinggi.
Sedangkan Sijil Pengurusan Hutan MC&I terdapat 9 prinsip, 47 kriteria, 96 indikator dan 307 verifier yang perlu dipatuhi.
Ia digubal sebagai standard bagi pensijilan pengurusan hutan asli di peringkat Forest Management Unit untuk memenuhi kehendak pasaran antarabangsa.
Zahari berkata penarikan Sijil Pengurusan Hutan MC&I disebabkan SIRIM QAS menemui ketidakpatuhan kepada prinsip nombor 6 dan petunjuk nombor 6.10.1.
“Pihak SIRIM QAS menemui seluas 6,221 hektar zon ladang hutan berada di dalam kawasan FMU Kelantan yang disijilkan. Selain itu tiada maklumat lengkap mengenai kawasan lombong di kawasan yang disijilkan.
“Pewartaan keluar Hutan Simpan Kekal Limau Kasturi daripada kawasan HSK yang disijilkan,” katanya.
Beliau juga berkata, Jabatan Perhutanan akan memohon melaksanakan pra pengauditan pensijilan bermula Mac 2017 bagi memperolehi semula pensijilan pengurusan hutan MC&I. – HARAKAHDAILY 21/12/2016