PASIR MAS – Dasar Membangun Bersama Islam yang dibawa oleh Almarhum Dato Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semenjak tahun 1990 dalam pentadbiran kerajaan Kelantan banyak meninggalkan kesan yang baik kepada kehidupan rakyat.
Menurut Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato Hj Ahmad Yakob, dasar tersebut menjadi contoh kepada negeri lain dan bagi pentadbiran Kelantan masa kini dasar tersebut diperkasakan lagi dengan ” Merakyatkan” iaitu merapatkan hubungan kerajaan dan rakyat dalam aspek pembangunan dunia dan akhirat.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Sambutan Jubli Perak Kelantan Membangun Bersama Islam peringkat zon Utara di Stadium Mini Pasir Mas semalam.
Hadir sama Speaker Dun Kelantan Dato Abdullah Yaakub, Exco negeri Kelantan, Wakil-Wakil Rakyat dan pegawai kerajaan negeri.
Ahmad juga berkata pembaharuan dasar tersebut meliputi aspek kebajikan kepada rakyat mengikut kemampuan kerajaan negeri.
“Kita juga akan menekankan aspek pembangunan modal insan dalam melahirkan masyarakat yang berkualiti berteraskan ajaran Islam”ujar beliau.
Menurut beliau lagi Kelantan yang terkenal dengan sistem pengajian pondok juga boleh menjadikan pondok tersebut sebagai produk pelancongan baru dan kerajaan bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dalam menarik pelancong ke Kelantan . – tmn