PEMETAAN BAHARU DUNIA, MALAYSIA PERLU BERWASPADA

oleh Norzana Razaly

Setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas kejayaan menganjurkan satu lagi wacana ilmu berjenama Syarahan Perdana bertajuk Pemetaan Baharu Dunia pada 5 Februari 2020 di Dewan Besar, Kompleks Islam Darulnaim, Lundang, Kota Bharu, Kelantan.

Program berprestij tersebut dianjurkan bersempena 3 Dekad Pentadbiran Membangun Bersama Islam dihadiri lebih lima ribu hadirin dari pelbagai lapisan masyarakat.

Siaran secara langsung sepanjang program itu disiarkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKN) dan mendapat 148 ribu tontonan dengan 4,111 tanda suka, 1,752 simbol sangat suka, 862 komen dan 1,453 dikongsikan.

Respons positif sedemikian membuktikan keseriusan rakyat mahu mengetahui keadaan sebenar iklim politik antarabangsa yang sedang membahang kini tempias ke Malaysia. Apatah lagi topik panas ini dikupas dari perspektif pemimpin dunia bertaraf ulama iaitu YBhg. Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Menurut Ketua Peruding Damai krisis Perang di Yaman pada tahun 2010 merangkap Ahli Lembaga Majma’ Taqrib Mazahib Sedunia tersebut, selepas Perjanjian Sykes-Picot di antara British dan Perancis pada Mei 1916 yang menyebabkan negara Islam berpecah, pemetaan baharu dunia terus wujud dan sekarang sedang dilakar oleh bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice.

Agenda tersebut bermaksud untuk memecah-belahkan Afrika Utara; antara bangsa Arab dengan Barbar seperti sudah terjadi kepada Sudan, Mesir dan Iraq yang melibatkan bangsa Kurdisy, Arab dan Turkmen. Termasuklah perpecahan mazhab Sunni dan Syiah.

Sejarah merekodkan tindakan serupa dilakukan terhadap kesatuan Islam di India dengan dipecahkan kepada Pakistan, kemudian Bangladesh.

“Rancangan yang sama cuba memecahkan negara ini kepada Malaysia Timur dan Malaysia Barat supaya berkelahi dan agenda mereka akan masuk apabila rakyat negara ini alpa disebabkan pergaduhan. Sabah Sarawak buat negara suku (sebahagian). Kelantan dengan Terengganu buat negara suku. Ini agenda yang kita kena sedar. Kita umat Islam perlu bersatu,” pesannya.

Beliau mendedahkan keadaan politik dunia masakini dan menyeru seluruh rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya menyedarinya agar tidak diperbodohkan kerana masih ada negara yang sudah lama merdeka tetapi akal fikiran pemimpin dan rakyatnya tetap dijajah.

Mereka terus bergantung dan membiarkan bekas penjajah terus menjajah sehingga mereka melupakan agama dan jati diri bangsanya sendiri.

Demikian terjadi kepada puak Pashtun, Tajik dan Uzbek berkelahi sesama Mujahidin berebut Afghanistan setelah mereka berjaya mengusir Soviet Union dari negara mereka menyebabkan kemudiannya Taliban dibekali senjata.

Beliau turut berkongsi pengalaman mendamaikan Acheh yang mulanya enggan berdamai dengan pemerintaha Indonesia berpusat di Jakarta dan mendakwa Jawa sebagai kafir kerana mempunyai fikiran lama dan silap.

“Acheh dipujuk untuk melihat Islam tidak hanya di wilayah itu tetapi dilihat bahawa majoriti di Indonesia itu adalah orang Islam hingga akhirnya Acheh berjaya didamaikan dengan Jakarta dan tidak jadi berpecah. Rancangan lakaran peta tersebut kini ke Irian Jaya membawa agenda Barat yang menghuru-harakan bumi tersebut yang kaya emas dan hasil lain”, katanya.

“Usaha Perdana Menteri Turki, Najmuddin Erbakan menggagaskan lapan negara Islam yang disatukan kepada pelbagai kerjasama juga dikacau hingga digulingkan, selain kelemahan pemimpin dan ulama. Sebarang usaha penyatuan orang Islam, Barat akan kacau. Ini kita kena sedar. Sebab itu orang Islam kena faham agenda melemahkan politik Islam menerusi pertembungan fikrah sesama umat”, jelasnya.- UPKN KELANTAN 12/2/2020

Sumber: https://www.facebook.com/upknkelantan/posts/2599144390319912

(Visited 6 times, 1 visits today)

Add Comment