Pemimpin 14 wilayah Thailand kunjungi Kelantan

KOTA BHARU: Seramai 80 orang rombongan mewakili Lembaga Pentadbiran 14 Wilayah  Thailand mengunjungi kerajaan Kelantan semalam.

Lawatan yang terdiri dari yang dipertua dan pegawai-pegawai kanan setiap wilayah itu untuk mengeratkan hubungan dua hala antara kedua belah pihak.

Sebelum rombongan diraikan dengan jamuan tengahari, 14 orang pimpinan peringkat wilayah berkenaan mengunjungi Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob di pejabatnya.

Sementara yang lain mendengar taklimat dari Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),  Datuk Kaya Perkasa, Datuk  Doktor Tengku Mohamed Faziharudean  Tengku Feissal.

Pada masa yang sama, rombongan turut melawat Dewan Undangan Negeri dan mendengar taklimat dari Speaker Dun, Datuk Abdullah Yakob.

Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Penasihat Undang-Undang, Datuk Shahidani Ab Aziz dan lain-lain pimpinan.

Ustaz Ahmad ketika berucap pada majlis itu mengalu-alukan kedatangan rombongan berkenaan ke negeri itu.

Katanya, semoga kehadiran mereka akan mengeratkan hubungan antara kedua belah pihak.

“Kami mengalu-alukan kedatangan tetamu semua, kami berharap ia dapat memberi sedikit sebanyak ilmu berkaitan negeri ini,” katanya.

Terdahulu ketua rombongan, Kuseng Yaworhasan, ketika berucap pada majlis itu mengucapkan terima kasih pada kerajaan negeri kerana menerima kunjungan mereka.

Beliau yang juga Yang Dipertua Lembaga Pentadbiran itu melahirkan rasa gembira kerana hasrat mereka untuk mengunjungi Kelantan telah tercapai.

“Kami datang untuk belajar, mencari ilmu menerusi pentadbiran kerajaan negeri yang berteraskan Islam,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/2/2017

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment