Pemimpin politik muncul wira di pedalaman

blockade8
‘Blockade’ suku Temiar di simpang Petei menghalang balak dibawa keluar

KELIBAT pemimpin parti serpihan mahu menjuarai isu Orang Asal di pedalaman Kelantan dilihat seperti tidak kesampaian.

Biar pun banyak peluru dimuntah bagi memburukkan kerajaan negeri isu pembalakan, Orang Asal dan pencemaran sungai, namun ia tidak mampu kekal lama.

Gambar-gambar yang diviral aktivis PAN, pemimpin besar mereka memasuki penempatan Orang Asal memberi gambaran sebaliknya.

Lebih mengejutkan lagi apabila pegawai kerajaan tanpa berselindung kesal dengan kehadiran pemimpin parti itu ke penempatan Orang Asal di Pos Gob tanpa mengendahkan peraturan Jabatan Perhutanan.

“Sepatutnya pemimpin politik menjadi contoh kepada orang lain. Masuk kawasan hutan simpan kekal perlu ada permit. Lagi pun insiden sekatan laluan lori balak agak hangat.

img_20161020_114537_hdr
Sekatan oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri ke atas ‘orang luar’

“Pemimpin politik yang datang hendaklah menjadi pendamai, menyelesaikan isu berbangkit dan bukannya menghangatkan lagi suasana,” ujar seorang pegawai.

Baru-baru ini Penasihat PAN Kelantan Dato’ Husam Musa menguar-uarkan dalam facebooknya bersama masyarakat Orang Asal berhampiran Pos Gob.

Beliau juga kelihatan bersalam dengan pegawai dan kakitangan Jabatan Hutan Kelantan ketika melalui sekatan jabatan itu.

Sebelum itu beberapa aktivis PAN juga mendedahkan gambar-gambar mereka di kawasan penempatan Orang Asal. Fokusnya seperti mahu menonjolkan kelemahan kerajaan negeri mengurus hutan.

Biar pun mungkin mahu diangkat sebagai wira, namun mereka dilihat mahu menumpang isu yang dijuarai sebuah NGO bagi menuntut hak masyarakat Orang Asal di Kelantan.

Sedangkan isu sekatan laluan lori balak berhampiran Pos Gob terpalit dengan adegan seorang peguam hak asasi Siti Kassim ‘bertelagah’ dengan pegawai Jabatan Hutan.

blockade10
Siti Kassim wefie bersama-sama dengan pemuda suku Temiar

Perempuan berambut merah memakai topi dan cermin mata besar diviral dalam media baru, seperti tidak mahu mengalah dengan peraturan Jabatan Perhutanan.

Mungkinkah alasan mahu membantu anak guam seperti disebutnya, tersembunyi agenda lain yang lebih besar.

Penghulu Kuala Betis, Jumak Abas mendakwa ada pihak membawa keluar anak-anak penduduk Orang Asal di negeri lain tanpa diketahui tujuan dan agenda mereka.

“Anak saudara saya sendiri terbabit dibawa ke sebuah negara sejak dua tahun lepas dengan harapan boleh menjadi pendakwah bukan Islam kepada masyarakat Orang Asal di sini,” dakwanya.

img_20161020_150217_hdr
Ajom Alang (duduk dua dari kiri)

Ajom Alang, 62 pula membuat laporan polis 4 Oktober lepas kerana ada pihak mahu mengaitkan namanya dengan aktiviti pemimpin parti tertentu di penempatan Orang Asal.

Namanya dipalit sama biar pun beliau mendakwa tidak pernah berjumpa dengan pemimpin PAN sejak selepas pilihan raya umum ke-13.

“Saya bercadang berbincang dengan peguam sekiranya pihak yang membuat tuduhan tidak  memohon maaf kerana mengaitkan nama saya dengan pemimpin PAN,” katanya.

Facebook milik seseorang menggunakan nama tertentu difaham mengaitkan nama Ajom dengan pemimpin PAN dalam isu Orang Asal yang membuat sekatan laluan lori balak berhampiran Pos Gob.

Menurut Ajom beliau pun tidak pernah sampai ke Pos Gob, lebih-lebih lagi ketika usia warga emas sekarang.

Kata beliau juga biar pun beliau mengenali beberapa pemimpin PAN, namun sudah lama tidak berhubung dengan mereka. [HARAKAH]

(Visited 8 times, 1 visits today)

Add Comment