BACHOK: Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan bersama Dewan Pemuda PAS Kawasan Bachok menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok di Tangok di sini.
Usaha tersebut dibuat berhubung penganjuran konsert hiburan yang membabitkan penyanyi wanita di perkarangan Sekolah Menengah Kebangsaan Teratak Pulai, Jelawat yang akan diadakan di sini pada 21 Oktober depan.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, pihaknya memandang serius penganjuran aktiviti berkenaan kerana secara jelas bertentang Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.“Kita memandangan serius perkara ini kerana premis pendidikan dijadikan tempat hiburan yang bertentangan dengan syariat Islam dan kita risau jika bantahan ini tidak buat, ia akan menular.
“Dan ia juga akan dibuat di kawasan lain dan kemungkinan menjadi satu barah yang susah diubati,” katanya ketika ditemui selepas penyerahan memorandum kepada pegawai PPD Bachok.
Beliau berkata, Dewan Pemuda PAS Negeri konsisten memberi bantahan terhadap program yang dilihat melanggar ajaran Islam dan juga sistem peraturan serta undang-undang kerajaan negeri.
Menurutnya, pada tahun lepas DPPNK telah melaksanakan siri bantahan terhadap Hospital Kuala Krai kerana menganjurkan konsert bertentang dengan agama dan beberapa minggu lalu di Pasir Mas.
“Ia merupakan langkah awal sebelum kejadian berlaku dan akan berlaku supaya pihak PPD dapat menyiasat perkara ini dan mencari punca dimana dan siapa dalang di sebaliknya.
“Semua rakyat sudah mengetahui siapa bertanggungjawab dan juga dalang dalam kes ini dan kita kira dia (Umno) sebagai mencabar kerajaan negeri yang melaksanakan enakman ini,” jelasnya.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri mengharapkan semua pihak agar menghormati usaha kerajaan negeri yang mengariskan enakmen berkenaan bagi menjaga keharmonian dan keamanan. – HARAKAHDAILY 18/10/2016