Pemuda PAS Kelantan sedia hadapi PAN

webmaster

1. Kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad bin Sabu bahawa parti tersebut bersedia untuk menggantikan PAS mentadbir kerajaan negeri Kelantan di dalam pilihan raya umum yang akan datang hanyalah menyerlahkan tujuan sebenar parti itu ditubuhkan. Ia hakikatnya bukanlah satu kenyataan yang mengejutkan bahkan sudah dijangka sekian lama sekalipun selama ini beberapa pemimpin parti tersebut menegaskan bahawa penubuhan parti baru itu bukannya untuk menentang PAS.

2. Saya mengalu-alukan kenyataan Mohamad bin Sabu atas semangat dan amalan demokrasi. PAN berhak untuk memilih mana-mana kerusi di Kelantan untuk bertanding bahkan Mohamad bin Sabu sendiri tidak dihalang untuk bertanding di negeri ini sebagaimana yang pernah ditandinginya semasa berada di dalam PAS. Dengan pengumuman terbaru ini, PAN secara rasminya telah mengambil alih tugas UMNO untuk menentang PAS di negeri ini.

3. Namun suka untuk dinyatakan bahawa Pemuda PAS Kelantan bersedia untuk menggerakkan kempen dan gerak kerja secara serius bagi memastikan lawan PAS di Kelantan sama ada bernama UMNO atau PAN akan tewas di dalam pilihanraya. Sekalipun mungkin ancaman dari pihak PAS ini tidak dilihat serius, namun saya ingin mengingatkan bahawa di dalam politik, tidak ada lawan yang kecil. Semua lawan adalah besar dan wajib dipandang serius.

4. Hakikatnya, kenyataan Presiden PAN itu mengesahkan bahawa itulah tujuan sebenar PAN ditubuhkan iaitu untuk menentang PAS sekalipun implikasinya memberikan kemenangan kepada UMNO / Barisan Nasional. Adakah Kelantan sudah menyeleweng dari asas pentadbiran Membangun Bersama Islam sehingga ia wajib ditentang juga oleh parti yang mendakwa berteraskan Islam? Jika didakwa ada penyelewengan, adakah ia dibuktikan oleh saluran undang-undang yang sah? Barang diingat bahawa logiknya kerajaan UMNO/Barisan Nasional pastinya tidak akan membiarkan sebesar kuman pelanggaran undang-undang sekiranya dilakukan oleh PAS di Kelantan.

5. Ketika UMNO sedang melancarkan kempen ‘Kelantan Milik BN PRU14’, PAN hadir pula sebagai lawan PAS. Saya rakamkan tahniah kepada DAP di Pulau Pinang yang dilihat sangat sempurna di mata PAN sehingga tiada niat dan sebarang kenyataan untuk PAN turut bertanding kerusi DAP atau sekurang-kurangnya bertanding di Pulau Pinang. Tahniah juga kepada UMNO Kelantan kerana mendapat bantuan untuk menentang PAS dari sumber yang barangkali tidak diduga ini.

6. Dengan kenyataan Mohamad bin Sabu ini, jelaslah kepada rakyat Kelantan siapakah yang akan memberikan keuntungan politik kepada UMNO. Ia memudahkan untuk rakyat membuat keputusan awal bermula sekarang berhubung undi di dalam pilihan raya umum nanti.

7. Di antara PAN dan PAS, rakyat tentunya dapat menilai dengan adil, siapakah yang akan lebih tegas mempertahankan prinsip Islam di dalam pentadbiran.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

10 November 2015.

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

PAS kecam serangan maut di Perancis

KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS: MENGECAM SERANGAN MAUT DI PERANCIS Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam. (Surah Al-Anbiyaa’ ayat 107) Pas merakamkan ucapan takziah terhadap semua mangsa serangan maut yang berlaku di beberapa lokasi di Perancis semalam yang mengorbankan hampir 200 nyawa. Pas juga […]

Subscribe US Now