KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan mempertahankan tindakan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyaman premis perniagaan mempamerkan gambar dan poster berunsur lucah.
Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, kompaun yang dikenakan terhadap premis Swee Cheong Watch & Pen Co kerana melanggar Undang-Undang Kecil Iklan MPKB 1990 (pindaan 2007).
Katanya, undang-undang berkenaan mensyaratkan premis perniagaan tidak dibenarkan meletakkan sebarang gambar iklan yang tidak sopan.
“Pemilik berkenaan dikenakan kompaun atas sebab melanggar undang-undang itu, tetapi yang mendukacitakan ia dijadikan isu politik.
“Lebih mendukacitakan diviral dalam media sosial sehingga menggambarkan kerajaan Kelantan tidak berperikemanusiaan,” katanya selepas menyerah memorandum sokongan terhadap tindakan tegas MPKB-BRI menyaman premis yang melanggar peraturan.
Memorandum itu diserah kepada Yang Dipertua MPKB BRI, Zamri Ismail hari ini.
Setiausaha MCA Kelantan, Datuk Lua Choon Hann dilapor cuba mengaitkan penguatkuasaan peraturan itu sebagai simbolik hudud akan dikenakan kepada non-Muslim.
Isnin lepas penguatkuasa MPKB-BRI menyaman sebuah premis di AEON Mall kerana mempamerkan gambar seksi dan berunsur lucah.
Ahmad Fadhli juga berkata peraturan yang dikuatkuasa itu tidak ada kena mengena dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah ll Pindaan 2015. – HARAKAHDAILY 27/6/2016