MACHANG: Kerajaan negeri akan memindahkan 19 penduduk yang terlibat dengan kejadian banjir lumpur di Kampung Bukit Besi baru-baru ini ke kawasan baru berhampiran pekan Temangan.
Adun Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata perkara itu sudah dimaklumkan kepada Pemangku Raja Kelantan bagi mendapatkan perkenan baginda untuk membina kediaman baru.
Katanya, rumah baru tersebut akan dibina dengan peruntukan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik).
“Semua penduduk yang terlibat bersetuju. Kita mengadakan pertemuan dengan mereka pada bulan lepas. Kita akan menukar tanah mereka dengan tanah kerajaan bagi mendirikan rumah baru,” katanya di sini.
Ketika bah bah melanda beberapa tempat di Kelantan baru-baru ini, kediaman 19 penduduk di Kampung Bukit Besi dilanda banjir lumpur memandangkan kedudukannya tidak jauh daripada bekas lombong bijih besi.
Dr Fadzli yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, penduduk terlibat juga boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pelombong yang mengusahakan lombong tersebut sebelum ini sekiranya mempunyai bukti mencukupi. – HARAKAHDAILY 5/2/2017