oleh Nik Azman Nik Mustafa
PENGKALAN CHEPA – Pengkalan Datu berpotensi sebagai salah satu destinasi pelancongan yang menarik di Kelantan kerana memiliki banyak usul-usul sejarah berkaitan hubungan dengan dunia luar yang perlu dibuat kajian dan penyelidikan secara lebih mendalam.
Merasmikan Majlis Jelajah U-BeS Kelantanku Bersih (Gotong-Royong Perdana) di Pasar Warisan Pengkalan Datu, Timbalan Menteri Besar, YB Dato’ Mohd Amar Abdullah menyarankan supaya tempat-tempat yang mempunyai nilai sejarah hendaklah diabadikan dalam bentuk tulisan untuk rujukan generasi akan datang.
“Tapak-tapak sejarah dan warisan di Kelantan banyak dibina menggunakan kayu yang tidak dapat bertahan lama untuk dibuktikan kepada generasi akan datang, maka sebab itu kajian dan penyelidikan adalah perlu bagi membuktikan kewujudan sesebuah penempatan penting sejarah di negeri ini,” katanya.
Berhubung perkara yang sama katanya, menjaga nilai-nilai sejarah adalah penting kerana sejarah mengajar kita untuk memahami kehidupan kerana sejarah itu sentiasa berulang dengan watak yang berbeza.
Sebelumnya, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, YB Zuraidin Abdullah berucap mewakili YB Exco, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat, beliau menekankan tentang kerjasama semua pihak khususnya NGO adalah penting dalam menjayakan kempen Kelantanku Bersih.
Program anjuran U-BeS yang gilirannya di DUN Panchor kali ini adalah dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan NGO dalam membantu Kerajaan Negeri menjayakan kempen Kelantanku Bersih.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, YB Dr Izani Husin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, YB Ustaz Ahmad Fathan Mahmood.