Peneroka Felda terharu terima geran tanah dari kerajaan Kelantan

Mohd Amar menyampaiakan geran tanah kepada peneroka di Felda Chiku 2

GUA MUSANG – Penantian lebih 30 tahun untuk memiliki geran tanah sendiri bagi peneroka di Felda Chiku 1 dan 2 telah berakhir dengan penyerahan geran tanah oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan YB Dato Mohd Amar Nik Abdullah semalam.

Seramai 107 peneroka dari kedua-dua kawasan Felda tersebut melahirkan rasa gembira di atas anugerah tanah seluas 10 ekar bagi tanah pertanian dan satu perempat ekar adalah untuk tapak rumah.

Majlis penyampaian geran tanah tersebut diadakan di perkarangan Masjid Chiku 2, hadir sama Pengarah Tanah dan Galian Kelantan Dato Nazran Muhammad, Ketua Jajahan Gua Musang Tuan Zainal Abidin Tuan Yusof, Penyelia Parlimen Gua Musang, Azman Ahmad dan ketiga-tiga Penyelia Dun.

Menurut Wakil Peneroka ketika menyampaikan ucapan bagi pihak peneroka, Mustapa Salleh, usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri dalam menunaikan janji untuk memberi geran tanah amat dihargai peneroka dan ini juga membuktikan kerajaan di bawah dasar Membangun Bersama Islam selama ini amat mementingkan kebajikan rakyat.

“ Saya bagi pihak peneroka yang mendapat geran tanah hari ini melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri yang telah menamatkan penantian kami untuk memiliki sendiri geran tanah yang sekian lama kami tunggu”ujar beliau

Sementara itu bagi Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato Mohd Amar Nik Abdullah, langkah kerajaan untuk memberi tanah kepada rakyat adalah bermula setelah kerajaan di bawan kepimpinan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz awal tahun 1990 lagi, ini berusaha untuk memberi tanah kepada mereka yang memerlukan.

Mohd Amar juga berharap peneroka yang telah mendapat geran tanah sendiri ini menjaga dengan baik tanah tersebut dan sentiasa mengikuti peraturan kerajaan seperti membayar hasil tahunan dengan sebaik mungkin.

“Kerajaan sentiasa peka terhadap masalah pemilikan tanah oleh rakyat negeri ini dan sehingga kini kerajaan telah meluluskan lebih 80 ribu fail pemilikan tanah dan sekiranya kita anggarkan hanya dua ekar setiap satu bererti telah 160 ribu ekar tanah telah diluluskan untuk rakyat:katanya.

Beliau juga menegaskan kerajaan tidak pernah meluluskan tanah untuk mana-mana syarikat , tetapi ia hanya diluluskan kepada agensi kerajaan seperti Yayasan Islam Kelantan (YIK), Yayasan Kelantan Darulnaim(YAKIN), Perbadanan Menteri Besar Kelantan(PMBK) dan Ladang Rakyat.

“rakyat perlu sedar, agensi kerajaan ini amat memerlukan sumber kewangan dan seperti YIK yang memerlukan lebih 6.5 juta sebulan untuk pengurusan, sehubungan itu pihak agensi kerajaan perlu mengadakan kerjasama dengan syarikat-syarikat yang berkemampuan untuk membangunkan tanah tersebut dan mereka mengadakan kerjasama dalam hal tersebut”ujar beliau lagi.

Peneroka yang menerima geran tanah gembira penantian mereka telah berakhir

(Visited 8 times, 1 visits today)

Add Comment