Pengundi: Kenapa tak mahu daftar automatik?

TADI saya bangun bertanyakan soalan saya berhubung apakah rasional kerajaan bercadang untuk menetapkan had umur pengundi 18 tahun. Jika dilihat kepada jawapan YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan, ia boleh diterima dan kita boleh berpuas hati dengan jawapan tersebut.

Cuma apabila saya diberikan peluang untuk mengajukan soalan tambahan, saya bertanya tiga perkara kepada YB Timbalan Menteri iaitu:

1.     Adakah kerajaan bersedia untuk membenarkan kempen politik di Sekolah Menengah memandangkan remaja berusia 18 tahun biasanya merupakan tingkatan enam di sekolah-sekolah menengah?

2.     Adakah kerajaan akan mengadakan pendaftaran automatik memandangkan janji Pakatan Harapan di dalam buku manifesto yang diedarkan dari rumah ke rumah sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu meletakkan bahawa komitmen untuk menurunkan had umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran automatik berada di dalam satu perenggan. Ia bermaksud, komitmen itu ialah komitmen yang sama dan adalah tidak munasabah untuk mereka lupa janji melaksanakan pendaftaran auomatik ini.

3.     Adakah pandangan kerajaan berhubung penetapan tarikh mengundi lebih awal dan akan diketahui oleh semua pihak berbanding sebelum ini di mana tarikh pengundian hanya diketahui oleh pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri?

Kesemua soalan ini tidak dijawab oleh YB Timbalan Menteri bahkan jawapannya lebih tersasar kepada fakta lain yang tidak ditanya.

Saya mempunyai maklumat bahawa kerajaan yang diterajui oleh Pakatan Harapan pada hari ini keberatan untuk melaksanakan pendaftaran automatik atas sebab-sebab yang boleh diteka semua pihak. Sewajarnya, janji pilihan raya yang tidak memerlukan kos seperti ini boleh dilaksanakan tanpa segan silu oleh kerajaan yang memerintah.

Jika janji-janji lain yang melibatkan kos tidak dapat dilaksanakan, ia boleh difahami sekalipun berulang-ulang menggunakan alasan yang sama iaitu kerajaan terbeban dengan 1MDB. Namun, bagaimana dengan janji pendaftaran pengundi secara automatik?

Adakah ia akan termasuk kepada koleksi janji-janji yang tidak akan dilaksanakan? Kita tunggu dan lihat.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas

4 Disember 2018 – HARAKAHDAILY 4/12/2018

http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/8967-pengundi-kenapa-tak-mahu-daftar-automatik

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
326Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment