KOTA BHARU – Hanya kerana mahu mendapatkan pinjaman wang dengan mudah, segelintir peniaga di negeri ini sanggup meminjam dari sindiket pinjaman tidak berlesen ah long bagi memajukan perniagaan mereka.

Ahmad Azizul (dua kanan) turut menurunkan banting iklan ah long yang ditampal di tepi jalan dalam ops Iklan ah long di sekitar Kota Bharu di sini, hari ini.

Dipercayai golongan itu sanggup melakukan tindakan sedemikian, setelah nama mereka disenarai hitam dan tidak dapat membuat pinjaman di institusi perbankan berikutan mempunyai masalah hutang tertunggak.

Bagi mendapatkan pinjaman dengan mudah, mereka sanggup mengambil jalan singkat tanpa memikirkan kesan negatif.

Berikutan aduan yang dibuat oleh peminjam setelah sedar ditipu ah long, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dengan kerjasama, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menjalankan Ops Iklan ah long di sini hari ini.

Sebanyak 240 banting diturunkan dalam ops itu yang diketuai Timbalan Ketua JSJK negeri, Deputi Superintendan Ahmad Azizul Mohamed bersama 13 anggota dan 3 pegawai  dari IPK dan IPD Kota Bharu yang turut dibantu 15 anggota dan dua pegawai MPKB-BRI.

Ahmad Azizul berkata, ops iklan ah long itu turut dijalankan di sekitar kawasan Lembah Sireh, Jalan Hamzah dan Jalan Bayam.

“Kita harap dengan ops yang dijalankan ini dapat mencegah rakyat Kelantan agar tidak mudah terpengaruh membuat pinjaman dari ah long.

“Jika sabit kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951 pihak yang teribat meminjamkan wang terbabit boleh dikenakan hukuman di bawah seksyen 5(2) minimum RM 250,000 sehingga maksimum RM 1 juta dan lima tahun penjara. Jika terlibat dalam kesalahan yang sama untuk kali kedua boleh dikenakan hukuman sebat,” katanya. [SINAR HARIAN]