Penjawat Awam Disaran Hayati Hijrah Nabi Untuk Cemerlang

KOTA BHARU – Setiap orang perlu mengambil ibrah daripada peristiwa Hijrah Rasulullah saw yang hebat itu bagi membuktikan kepada kita bagaimana kuasa hijrah dalam membentuk sesuatu kejayaan dan kecemerlangan yang menjadi titik perubahan kepada dunia dan perjuangan Islam.

Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob berkata demikian sewaktu berucap menyampaikan Amanat Khas kepada penjawat awam sempena Tahun Baru Hijrah 1440 di Kota Darulnaim pagi ini.

Katanya, hijrah tersebut telah membuka ruang dakwah yang lebih luas serta peluang mengamalkan Islam secara lebih terbuka dan peristiwa itu juga telah membuatkan Nabi Muhammad saw berjaya membentuk sebuah Negara Islam Madinah yang menterjemahkan ajaran agama Islam dalam pemerintahan, pentadbiran dan segenap aspek kehidupan insan.

“Pada zaman ini bukannya kita dituntut untuk berhijrah dari satu tempat ke satu tempat yang lain, namun kita dituntut untuk menghijrahkan diri dan sikap kita daripada yang buruk kepada yang terbaik.

Orang yang mengambil ibrah dari sejarah hijrah pasti akan sentiasa memuhasabah diri dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki diri mereka. Itulah hijrah yang menuju ke arah kejayaan dan kecemerlangan hidup baik di dunia maupun di akhirat,” katanya.

Katanya lagi, dalam konteks pentadbiran Kerajaan Negeri apa yang perlu kita lakukan adalah dengan melaksanakan penambahbaikan dalam soal kerja dan tugasan kita semua sebagai penjawat awam dan kita perlu melaksanakan hijrah ke arah meningkatkan mutu kerja dan tugas kita dengan mengambil semangat hijrah sesuai dengan penggal baru Kerajaan Negeri selepas daripada PRU-14 baru-baru ini.

“Kerajaan Negeri telah membuat ketetapan bahawa apa saja program akan dilaksanakan secara bersepadu berasaskan kepada tiga fokus utama iaitu menambahkan peluang pekerjaan melalui aktiviti ekonomi industri hiliran berasaskan sumber asli serta meningkatkan lagi sektor perkhidmatan dan pertanian, menjayakan program kebersihan, keceriaan bandar dan penghijauan, serta menangani gejala sosial dan aktiviti maksiat.

Saya ingin melihat amanat yang disampaikan pada hari ini disambut secara menyeluruh oleh semua jabatan, agensi dan urusetia kerajaan untuk melaksanakan di peringkat masing-masing. Para penjawat awam hendaklah jujur dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul,” katanya.

Tambahnya, konsep integriti dan melaksanakan kerja secara itqan hendaklah diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan amalan dengan mengambil semangat daripada peristiwa hijrah untuk melakukan hijrah dalam diri, kerja dan kehidupan kita ke arah yang lebih baik.- UPKN KELANTAN 13/9/2018

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment