Penternakan rusa: Apa usaha kerajaan majukannya?

ahmadmarzukKUALA LUMPUR: Kerajaan wajar menyediakan peruntukan dan pertambahan dana yang lebih besar bagi menjayakan projek penternakan rusa, demikian menurut Ahli Parlimen Bachok Ahmad Marzuk Shaari.

Ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini, Marzuk berkata, potensi penternakan rusa sangat baik dan menjadi ternakan alternatif bagi penternak di kampung-kampung.

“Kos menternak rusa ini hampir sama dengan penternakan yang lain dalam masa yang sama serangan penyakit sangat minima ke atas haiwan ini,” katanya.

Bahkan katanya, kini daging rusa sering mendapat tempat di pasaran walaupun harga yang tinggi ianya boleh membantu ekonomi penternak di kampung.“Saya lihat tidak ada banyak pertambahan di dalam peruntukan kerajaan. Selain ternak rusa masyarakat kita suka makan haiwan esotik seperti kijang, landak dan sebagainya,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli turut memberi cadangan agar kerajaan menjadikan sebanyak 341 pusat penternakan rusa sebagai produk pelancongan.

“Kita boleh tengok di luar negara mereka jadikan penternakan kambing biri-biri sebagai produk pelancongan dan hiburan, kita boleh ambil idea daripada mereka ini,” katanya dalam soalan tambahan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Nogeh Anak Gumbek tidak menafikan penternakan rusa mempunyai potensi kerana haiwan itu tahan lasak dan tidak mudah kena penyakit.

Terdahulu, Ahmad Marzuk meminta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyatakan apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan dalam menjayakan projek penternakan rusa yang disebut PM dalam Bajet 2016. Bagaimana caranya untuk memohon projek penternakan ini. – HARAKAHDAILY 22/11/2016

(Visited 2 times, 1 visits today)

Add Comment