PASIR PUTEH – Golongan perantau perlu terus membawa imej baik Kelantan kepada masyarakat luar dan ‘membawa balik’ idea yang boleh membantu meningkatkan kualiti rakyat negeri ini.
Penyelia Dun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim berkata, golongan berkenaan sewajarnya menjadi ‘duta’ dalam mempromosikan dasar dan pelbagai bentuk perubahan dilaksanakan kerajaan negeri.
“Kita harap anak Kelantan yang berada di perantauan terus berjaya dalam kerjaya mereka kerana ia bukan sahaja menaikkan imej negeri ini, malah suatu masa nanti, ilmu yang dimiliki memberi manfaat kepada anak Kelantan sendiri,” katanya.
Menurut Wan Hassan, amalan balik kampung yang makin sebati dengan golongan berkenaan merupakan usaha yang baik dalam mengukuhkan silaturahim keluarga.
“Suburkanlah amalan ini kerana menjadi tanggungjawab kita merapatkan hubungan keluarga, di samping meluangkan masa beramah mesra dengan rakan,” katanya pada Majlis Aidilfitri di pekarangan pejabatnya di Cherang Ruku, di sini, semalam.
Selain menyediakan hidangan kepada pengunjung, Wan Hassan bersama isteri, Bidah Abd Kadir turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak.
Kumpulan dikir barat tempatan menghiburkan tetamu dengan lagu yang mengubat kerinduan perantau kepada kesenian tradisi rakyat Kelantan itu.
Menurutnya, majlis yang dijadikan acara tahunan itu juga dianggap sebagai medium menyatukan penduduk pelbagai kaum di Semerak.
Wan Hassan berkata, hubungan baik kaum Melayu, Cina dan Siam di Semerak tidak menampakkan tanda akan pudar.
“Perkembangan baik ini membentuk persefahaman padu masyarakat seterusnya menjadikan kehidupan kita lebih sejahtera. Saya harap situasi ini berkekalan,” katanya.
-sinar harian