Kelantan menang rayuan untuk kemukakan 14 isu dalam perbicaraan kes saman Kerajaan Kelantan terhadap Petronas.
Walaupun perjuangan melalui mahkamah masih jauh dan berliku, Pertubuhan R Kelantan (Royalti, R) mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua yang berusaha bersungguh-sungguh bagi memastikan kejayaan dan kelangsungan perjuangan menuntut royalti.
Terima kasih juga kepada semua pihak yang hadir menyatakan sokongan di Mahkamah Rayuan Putrajaya dan turut mendoakan kejayaan perbicaraan itu. Kehadiran pimpinan kerajaan negeri yang diketuai oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan, turut dihadiri oleh Exco Kerajaan Negeri, Adun, Ahli Parlimen, aktivis R dan wakil Persatuan Anak Kelantan – Perakan dan Persada serta rakyat Kelantan.
Sesungguhnya perjuangan royalti ini berupaya menyatukan rakyat Kelantan tanpa mengira latar belakang politik. Kehadiran wakil dari PAS, PKR, PAN dan PSM menggambarkan bahawa perjuangan royalti ini adalah hak rakyat Kelantan keseluruhannya.
Tahniah kepada seluruh rakyat Kelantan di atas kejayaan @ keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan 14 isu dari Kelantan dimasukkan semula, selepas ditolak Mahkamah Tinggi pada 10 April 2015.
Mengimbas pada 30 Ogos 2010, Kerajaan Kelantan telah memfailkan writ saman terhadap Petronas. Bermula dari itu, proses mahkamah telah menyaksikan beberapa perkara aneh.
i. Pertama, kerajaan Malaysia secara tiba-tiba memohon menjadi defendan kedua (asalnya tuntutan Kelantan hanya melibatkan Petronas). Mahkamah meluluskan perkara ini.
ii. Kedua, Mahkamah Tinggi menukar kes dari Mahkamah Dagangan kepada Mahkamah Sivil. Pertukaran ini dilakukan tanpa permohonan pihak yang memfaikan. Hanya notis disampaikan kepada pihak Kelantan.
iii. Ketiga, mahkamah menetapkan kes tidak boleh membawa saksi hidup. Hanya menggunakan Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012. Ini bermakna, saksi seperti Tengku Razaleigh Hamzah (Pengerusi Petronas ketika perjanjian ditandatangani) dan Tun Salleh Abas (pembuat perjanjian) masih hidup dan bersedia memberi keterangan, tidak boleh tampil.
iv. Keempat, Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 juga bermakna, tiada perbicaraan terbuka yang boleh dihadiri media dan awam. Sebaliknya satu perbicaraan dalam kamar.
v. Kelima, pada asalnya, Kerajaan Kelantan yang memfailkan kes terhadap Petronas. Tetapi Mahkamah Tinggi pada 10 April 2015 telah menolak 14 isu (persoalan) dari fail Kelantan. Sebaliknya menggunakan 6 isu dari Petronas dan 3 isu dari kerajaan Malaysia.
Keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 7 Disember 2015 telah mengembalikan semula fail Kelantan di landasan yang sebenarnya dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Walau masih tidak dibenarkan membawa saksi hidup, tetapi afidavit (dalam bentuk dokumen) berupaya memberikan harapan baru.
Bagi pihak Royalti, perjuangan menuntut kedaulatan hasil bumi Kelantan mempunyai banyak sektor. Jalan raya, gerakan massa, forum pendidikan dan juga proses mahkamah. Walaupun proses mahkamah sangat rumit dan kini seolah-olah memberi sedikit sinar dan kejayaan awal, perjuangan melalui sektor-sektor lain tetap akan diteruskan. –HARAKAHDAILY 9/12/2015