PERKIM DISARAN ADAKAN PROJEK KHAS MEMBANTU SAUDARA BARU

webmaster

oleh Kalam Timur

KOTA BHARU – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) disaran adakan projek khas bagi menampung tabung untuk membantu saudara baru dalam usaha memartabatkan bidang kebajikan dan dakwah di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gual Periuk, YB Dato’ Haji Mohamad Awang berucap mewakili Menteri Besar, YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob pada Majlis Pelancaran Bulan Dakwah PERKIM Kelantan dan Ijtima’ Saudara Baharu Dalam Islam Tahun 2019/1441 di Gelenggang Seni semalam.

Katanya, PERKIM merupakan sebuah badan kebajikan yang bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja kebajikan dan menyebarkan dakwah telah berusaha sedaya upaya untuk menjalankan amanah sesuai dengan matlamat penubuhannya terutamanya kepada saudara-saudara bukan Islam yang baru memeluk agama Islam atau disebut sebagai saudara baru.

“Menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk melaksanakan islah dan dakwah realiti dengan kehidupan masyarakat Islam hari ini memerlukan pengurusan dan perancangan yang cekap dalam melaksanakan islah dan dakwah sama ada secara individu ataupun organisasi tertentu.

Corak kehidupan umat Islam sentiasa berubah seiring perubahan persekitaran dan sosio-budaya khususnya perubahan dalam sosial masyarakat juga sangat membimbangkan terutamanya golongan remaja yang semakin terjebak ke lembah kemaksiatan dan fenomena keruntuhan akhlak yang semakin bermaharaja lela, maka dakwah sangat perlu bagi memastikan perubahan yang berlaku bersesuaian dengan ajaran Islam yang memandu manusia ke arah kesejahteraan, ” katanya.

Katanya lagi, masyarakat Islam hari ini telah mengalami pelbagai perubahan sosial dan budaya yang menyebabkan mereka lalai dalam mengamalkan ajaran Islam yang sebenar menunjukkan mereka telah dipengaruhi dengan pelbagai budaya negatif yang boleh meruntuhkan akhlak mereka sebagai seorang muslim.

“Situasi ini dapat dilihat di merata tempat khususnya di Malaysia yang mana akhbar, majalah serta media elektronik sering menyiarkan mengenai keruntuhan akhlak dan peribadi muslim, mereka dilanda pelbagai masalah seperti penyalahgunaan dadah, penagihan arak, aids, penceraian, kegiatan maksiat, penderaan kanak-kanak, jenayah remaja dan gejala rasuah.

Situasi sebegini memerlukan keperihatinan oleh semua pihak untuk menanganinya dengan pendekatan yang bijak dan efektif yang mana perubahan sosial ini juga turut mewujudkan masalah keruntuhan akhlak yang sangat membimbangkan dalam kalangan masyarakat seperti meluasnya aktiviti melepak dalam kalangan remaja, pergaulan bebas, perlumbaan haram, video lucah, sumbang mahram dan sebagainya,” katanya.

Tambahnya, dalam konteks dakwah kepada saudara baru salah satu bentuk hikmah dalam dakwah saudara baru ialah memahami jiwa mereka dalam proses untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan agama baru, saudara baru sudah pasti mengalami pelbagai tekanan sehingga mengganggu emosi dan psikologi mereka.

“Itulah sebab sokongan sosial dari pendakwah dan kaunselor muslim amat penting dan salah satu cara untuk merawat emosi yang terganggu ialah melalui pendekatan kaunseling Islam yang menerapkan nilai-nilai dakwah ketika proses kaunseling dijalankan.

Peranan pendakwah yang terdiri dalam kalangan saudara baru itu sendiri adalah penting kerana mereka lebih memahami budaya, psikologi, bahasa dan cabaran yang dilalui golongan saudara baru kerana mereka juga melalui proses yang sama,” katanya.

Tambahnya lagi, selama 29 tahun Kelantan membangun dengan acuan Islam dan jolokan ‘Serambi Mekah’ telah menjadi bahan perhatian di seluruh negara kerana keunikan dasar ini serta ianya mendapat dokongan dan sokongan semua rakyat, orang-orang Islam mahu pun bukan Islam.

“Melalui Belanjawan 2020 Kerajaan Negeri terus fokus untuk melaksanakan pelbagai program bagi meningkatkan budaya kehidupan beragama rakyat Kelantan dengan memperuntukkan secara keseluruhan lebih RM 8 juta.

Program-program yang antara lain termasuklah program bimbingan keagamaan, kecemerlangan solat, Ihya’ Ramadhan, latihan dan penyelidikan dan pencegahan dan juga program bersama ulamak dan guru pondok,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dato’ Haji Mohamad turut menyampaikan hadiah kepada Tokoh PERKIM 2019/1441, Saudara Muhammad Michael Abdullah berasal dari Ghana, Afrika yang sudah lama menetap di sini.– UPKN KELANTAN 30/10/2019

 

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Next Post

KENAPA GUAN ENG SANGAT BENCIKAN KELANTAN DAN SARAWAK?

DAP terus menunjukkan sikap tajam dan perasaan bencinya kepada Kerajaan Kelantan dalam kenyataan media yang disiarkan melalui laman rasmi parti berkenaan sejak kelmarin. Bukan sahaja Kelantan, tetapi Sarawak turut menjadi bahan kutukan Setiausaha Agung DAP ini. Entah apa masalahnya Guan Eng apabila meneruskan serangan dan mempamerkan perasaan tidak puas hati […]

Subscribe US Now