PASIR PUTEH – Timbalan Exco Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti negeri YB Abdul Rahman Yunus berpendapat Perbadanan Tok Bali perlu ditubuhkan yang berfungsi merancakkan semua aktiviti ekonomi di sekitarnya impak dari aktiviti perindustrian Pangkalan BekalanTok Bali dan Pelabuhan Perikanan Tok Bali.
Katanya, seperti Perbadanan Tunjong yang berperanan menyediakan akses kepada jaringan pengangkutan baik yang membolehkan sektor ekonomi setempat berkembang pesat, begitu juga kepesatan industri maritime di Tok Bali bakal berkembang ke peringkat nasional dan global.
“Perbadanan ini berperanan mengurus dan mentadbir aktiviti ekonomi di dua pusat pelabuhan industri dan perikanan serta industri hiliran yang berkaitan. Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) pula kekal dengan peranan sedia ada,” jelasnya ketika sesi kunjung ziarah ke pejabat Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB), Isnin lepas.
Cadangan itu disokong oleh Ahli Dewan Undangan Semerak YB wan Hasan Wan Ibrahim yang mengatakan projek TBSB dirancang untuk merancakkan sektor pengangkutan maritim di Lembangan Melayu Utara (North Malay Basin).
“Perbadanan Tok Bali dilihat perlu diwujudkan bagi menyediakan pembangunan infrastruktur yang mencipta ekosistem lengkap kepada industri logistik dan petroleum negeri Kelantan. Tambahan pula, projek East Coast Rail Link (ECRL) dijangka siap pada tahun 2026 akan meningkatkan kapasiti perdagangan pergerakan kargo dari dalam dan luar negara menggunakan Pelabuhan Tok Bali dan stesen kargo ECRL berdekatan,” jelasnya.