PENGKALAN CHEPA: Usaha Kelantan memperkasakan bidang pendidikan agama semakin terserlah apabila sebuah lagi sekolah berprestasi tinggi diwujudkan.
Maahad Sains Tok Guru (MSTG) akan beroperasi 3 Januari 2017 berkonsep sekolah berasrama penuh.
Penolong Pengarah Hal Ehwal Murid Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ustaz Azhar Salleh berkata sekolah tersebut yang dibina dua tahun lepas siap sepenuhnya 15 September lalu membabitkan kos RM12.97 juta.
Katanya seramai 120 pelajar sulung akan dipilih berdasar keputusan cemerlang Peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).Menurutnya keutamaan diberi kepada pelajar yang mendapat kelulusan 6 A dalam peperiksaan tersebut.
“Sekolah berasrama penuh ini hanya untuk pelajar lelaki sahaja. Yik juga menyediakan peluang pelajar luar Kelantan untuk belajar.
“Sebanyak 10 peratus dibuka peluang kepada pelajar cemerlang dari luar Kelantan,” katanya di sini.
Maahad Sains Tok Guru yang terletak tidak jauh dari kampus Universiti Malaysia Kelantan di Pengkalan Chepa dilengkapi 24 bilik darjah, asrama, bilik komputer, makmal, dewan makan, kantin dan bilik guru.
Kurikulum yang digunakan ialah kurikulum kebangsaan dan bu’uth Al Azhar, Mesir.
Azhar berkata, kompleks sekolah itu dilengkapi pelbagai kemudahan pembelajaran terkini dan prasarana bagi kegiatan pelajar.
“Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini untuk memasuki tingkatan satu tahun hadapan boleh memohon borang kemasukan sekarang,” jelasnya.
Borang permohonan memasuki sekolah itu dibuka mulai 3 Oktober lalu.
Borang permohonan juga boleh dimuat turun di www.yik.edu.my. – HARAKAHDAILY 8/11/2016