Persediaan Perkhidmatan Bekalan Air Bagi Menghadapi Musim Perayaan

KOTA BHARU– Beberapa langkah awal telah diambil oleh pihak Pengurusan Air Kelantan Sdn.Bhd (AKSB) bersama ahli Mesyuarat Tindakan Air Jajahan (MTAJ) bagi menyediakan perkhidmatan air yang mencukupi bagi semua rakyat kelantan menjelang musim perayaan Aidilfitri  Syawal  nanti. Antara yang dicadangkan bagi tempoh 7 hari sebelum Hari Raya Aidilfitri, memastikan keseluruhan tangki statik dipenuhkan bagi setiap jajahan, diletakkan di tempat-tempat yang strategik seperti taman-taman perumahan, kawasan masjid/madrasah, tempat yang dijadikan tumpuan orang ramai dan sebagainya. Masyarakat diseru agar menggunakan sumber air daripada tangki statik ini dengan betul dan berhemah.

Ketika ditemui pemberita, Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti, YB. Sr. Hj. Azami B. Mohd Nor berkata, “kita dapat laporan, ada sesetengah individu mengambil sumber air daripada tangki statik ini untuk membasuh kereta, menyiram pokok bunga, dan sebagainya. Guna lah secara berhemah untuk keperluan asas kita, seperti mandi, mengambil wuduk dan lain-lain.”

Walaubagaimanapun, kepulangan perantau pada tahun ini adalah agak awal dari kebiasaan menyebabkan pihak AKSB akan bekerja keras bermula hari ini bagi menjamin keselesaan masyarakat menggunakan perkhidmatan bekalan air yang mencukupi. Antara perancangan awal, sebanyak 12 unit lori Unit Selenggara jajahan dijadikan lori tangki bergerak dan sebanyak 202 unit tangki statik pelbagai saiz 500-1800 gelen akan ditempatkan.

“InsyaAllah dengan segala perancangan serta tindakan semua pihak yang berwajib,  kita yakin dan pasti akan dapat mengatasi masalah-masalah kekurangan bekalan air terutamanya menjelang kepulangan perantau pada tahun ini.” Katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mesyuarat jawatankuasa Induk Majlis Tindakan Air Jajahan ke-2 tahun 2019 di Kediaman Rasmi Menteri Besar.

Tambahnya lagi, AKSB akan cuba sedaya upaya dengan segala perancangan yang ada untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air ini. Akan tetapi bagi melaksanakannya sudah pasti ada kekurangan dan masalah yang tidak dijangka.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti  YB Hj. Abd Rahman Yunus, Pengarah Eksekutif YBrs Tuan Haji Abdul Rashid bin Mohd Yusoff, serta Ketua Jabatan Pengurusan Operasi Hj Mohd Safrurazi Bin Salleh.- UPKN KELANTAN 27/5/2019

(Visited 3 times, 1 visits today)

Add Comment