Pertahan Kelantan: Munajat 60 hari jam 4.30 pagi

KOTA BHARU: Bermula pagi tadi sehingga awal pagi 17 Februari ini PAS Kelantan menganjurkan munajat dan solat hajat di peringkat parlimen bagi mempertahankan kerajaan negeri di bawah kepimpinan ulama.

Dan selepas itu program munajat akan diteruskan di 45 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan Datuk Hassan Mohamood berkata, munajat dan solat hajat itu diadakan selama 60 hari berturut-turut yang bermula jam 4.30 pagi.

Katanya ada mana-mana kawasan parlimen atau Dun tidak dapat mengadakan program berkenaan ia akan diulangi sekali lagi sehingga tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 diadakan.

“Kita sebagai pejuang perlu melakukan amalan munajat sama ada secara jamaie atau individu berterusan sebagai salah satu cara bagi mendapat pertolongan Allah Taala.

“Di samping itu gerak kerja lain seperti menggerak daftar pemilih dan mengadakan kursus pengendalian pilihan raya juga diadakan,” katanya pada pelancaran Munajat Perdana di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) awal pagi tadI.

Hadir sama Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob dan pimpinan PAS Negeri. Biar pun hujan agak lebat namun ia tidak menghalang kedatangan orang ramai.

Hassan yang juga Adun Tawang berkata tidak ada negeri lain di negara ini yang bersungguh-sungguh melaksanakan syariat Islam kecuali Kelantan di bawah kepimpinan ulama.

“Oleh itu kita perlu meracun serangga perosak yang cuba menganggu gugat kerajaan negeri yang ada sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/2/2017

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment