Perutusan Nuzul Al-Quran MB Kelantan

FIRMAN Allah SWT:

رَفِيعُ الدَّرَجَاتِ ذُو الْعَرْشِ يُلْقِي الرُّوحَ مِنْ أَمْرِهِ عَلَىٰ مَنْ يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ لِيُنْذِرَ يَوْمَ التَّلَاقِ

“(Dialah) Yang Maha Tinggi, yang mempunyai ‘Arsy, yang menurunkan Al-Quran dengan perintah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya supaya ia memperingatkan (manusia) tentang hari pertemuan (hari kiamat)”. (Al-Mu`min: 15)

Al-Quran disebut sebagai roh dalam ayat di atas disebabkan sesiapa yang mempelajari serta mengamalkannya akan memberi kehidupan kepada hati manusia. Sesungguhnya, diturunkan Al-Quran bukan sekadar untuk dibaca walaupun membacanya merupakan ibadah yang diberi ganjaran oleh Allah SWT.

Al-Quran merupakan petunjuk dan panduan untuk diikuti dan diamalkan oleh manusia agar sejahtera dunia dan akhirat. Manusia yang memuliakan kandungan Al-Quran apatah lagi melaksanakan perundangan yang terkandung di dalamnya akan diberi kemuliaan oleh Allah sesuai dengan kemuliaan Al-Quran. Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya ada menyebut:

أنزل أشرف الكتب بأشرف اللغات، على أشرف الرسل، بسفارة أشرف الملائكة، وكان ذلك في أشرف بقاع الأرض، وابتدئ إنزاله في أشرف شهور السنة وهو رمضان، فكمل من كل الوجوه

“Diturunkan kitab yang paling mulia (Al-Quran) dengan bahasa yang paling mulia, diajarkan kepada Rasul yang paling mulia, disampaikan oleh Malaikat yang paling mulia, diturunkan di tempat yang paling mulia di muka bumi, diturunkan pula di bulan yang paling mulia sepanjang tahun, iaitu bulan Ramadhan. Dengan demikian, sempurnalah kitab suci Al-Quran di semua sudut”.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Kelantan di bawah Dasar Membangun Bersama Islam, menjulang tinggi tuntutan Al-Quran dalam pentadbiran. Pendidikan berteras Al-Quran diberi keutamaan, sehingga kini Kerajaan Kelantan telah menubuhkan 92 buah sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan termasuklah 8 buah sekolah aliran tahfiz Al-Quran bagi melahirkan generasi celik dan hafiz Al-Quran sepanjang waktu.

Semoga kehadiran Ramadhan 1439H ini menjadi inspirasi kepada seluruh umat Islam untuk memartabatkan tuntutan Al-Quran dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara. Selamat memperingati Nuzul Al-Quran dan sentiasalah tadabbur, tafakkur serta tafaqquh ayat-ayatnya.

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
17 Ramadhan 1439

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment