PERUTUSAN NUZUL AL-QURAN YAB MENTERI BESAR KELANTAN

 

Rasulullah S.A.W bersabda:

مَا اجٌتَمَعَ قَومُ فيِ بَيتٍ مِن بُيُوتِ اللهِ يَتلُونَ كتَابَ اللهِ وَيَتَدَارَسُونَه فِيمَا بَيْنَهُم إلا نَزَلتْ عليْهمُ السَكِينَةُ وَغَشِيتهُمُ الرَّحمةُ وَحَفَتهمُ الملآئكةُ وَذَكَرَهُمُ اللهُ فِيمَن عِندَهُ.

“Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah daripada rumah-rumah Allah, mereka membaca kitabullah dan saling mengajarkannya di antara mereka, melainkan diturunkan ke atas mereka ketenangan, rahmat menyirami mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah menyebut nama mereka di kalangan (malaikat) yang ada disisinya.” (Riwayat Muslim dan Abu Dawud)

Bersempenakan sambutan Nuzul Al-Quran di negara kita pada hari ini, marilah kita mengambil peringatan serta membuat muhasabah berkaitan hubungan kita dengan Al-Quran. Semoga umat Islam di Malaysia sentiasa memperbaharui azam untuk berdampingan erat dengan Al-Quran setiap kali menyambut Nuzul Al-Quran.

Diperingkat kerajaan negeri Kelantan, alhamdulillah pihak kepimpinan sentiasa prihatin dan serius terhadap usaha membangunkan pendidikan Al-Quran melalui Maahad-Maahad Tahfiz yang ditubuhkan. Peruntukan sebanyak RM96 juta kepada Yayasan Islam Kelantan adalah termasuk dalam membangunkan kegemilangan sekolah-sekolah tahfiz dibawah YIK.

Sesungguhnya bajet kerajaan negeri tidak pernah mengecualikan program-program Tahfiz Al-Quran, Ujian Tilawah Al-Quran dan kelas Tarannum Al-Quran yang berjumlah RM400 ribu bagi tahun 2017. Malah menjadi agenda utama kerajaan negeri untuk melahirkan seramai mungkin para huffaz yang beramal dengan Al-Quran. Sehingga kini, kerajaan negeri telah mendidik lebih 20 ribu pelajar yang masih belajar diperingkat tahfiz Al-Quran termasuk yang sudah menamatkan hafazan mereka.

Sempena kedatangan Ramadhan Al-Mubarak, aktiviti-aktiviti yang berkait dengan ilmu Al-Quran sentiasa diberi penambahbaikan. Malah sempena Ramadhan 1438 ini kerajaan negeri telah memperkenalkan pengajian Daurah al-Quran setiap hari sepanjang Ramadhan dan ia adalah yang pertama dilaksanakan di negara ini. Rakyat diberi penekanan agar menyantuni Ramadhan dengan Al-Quran. Alhamdulillah, pada malam tadi program Khatam Al-Quran 100 kali telah berjaya disempurnakan di Madinah Ramadhan.

“AL-QURAN SEBAGAI TEMAN”

USTAZ DATO’ BENTARA KANAN MENTERI BESAR KELANTAN
Bertarikh: 17 Ramadhan 1438H / 12 Jun 2017M

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook180Share on Google+0Tweet about this on TwitterPrint this page

Add Comment