Peserta Iran, Malaysia juara tilawah antarabangsa

KUALA LUMPUR – Qari dari Iran, Hamed Alizadeh Marghzari Gholamhassan dan qariah dari Malaysia, Normalina Alias, masing-masing diumumkan juara qari serta qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-59.

Dengan kemenangan itu, masing-masing membawa pulang hadiah kepingan emas bernilai RM70,000, wang tunai RM40,000 dan piala iringan.

Hamed Alizadeh Marghzari memperoleh markah 89.96 peratus, manakala Normalina  memperoleh markah 91.52 peratus.

Sementara itu, Awangku Muhd Adibul Amin Pengiran Marjuki dan Dayang Siti Noor Dzuhairah Awang Damit, kedua-duanya dari Brunei muncul naib johan qari dan qariah yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM30,000.

 Qari dan qariah yang menang tempat ketiga pula ialah Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad dari Malaysia dan A’tiiqah Suhaimi dari Singapura, membawa pulang wang tunai RM20,000.

Bagi Kategori Menghafaz Al-Quran Bahagian Lelaki, Diallo Mouhamed Al Muoudjtaba dari Senegal muncul juara, Muhammad Syazani Jemy (Malaysia) di tempat kedua dan Ammar Abdulla A Sakini (Qatar) tempat ketiga.

Kategori Menghafaz Al-Quran Bahagian Wanita pula dimenangi Aishatu Musa Gale dari Nigeria, Zainab MS Hijawi (Palestin) di tempat kedua dan Ngom Ndeye Diarra (Senegal),  ketiga.

Johan bagi Kategori Menghafaz Al-Quran menerima kepingan emas bernilai RM50,000, wang tunai RM20,000 dan piala iringan, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing menerima wang tunai RM15,000 dan RM10,000.

Majlis tilawah bertemakan ‘Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah’  berlangsung enam hari bermula Isnin lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Seramai 91 peserta dari 46 negara menyertai majlis tilawah kali ini, dengan 22 negara menyertai kategori Tilawah Al-Quran dan 24 negara menyertai kategori Hafazan Al-Quran.

Turut berangkat pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Noramalina, 35, ibu kepada seorang anak berkata, dia tidak menyangka usahanya berlatih membaca al-Quran kira-kira enam jam sehari sejak Ogos tahun lalu, membuahkan hasil.

“Kejayaan ini pengorbanan daripada ramai pihak termasuk suami, anak, ahli keluarga lain dan seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan saya,” katanya.

Menurutnya, dengan kemenangan itu dia berazam membantu dan mengajar sesiapa sahaja yang berminat membaca al-Quran.

Noramalina berkata, pada tilawah itu dia menggunakan sebuah al-Quran lama yang dihadiahkan datuknya.

Katanya, dia menerima al-Quran itu ketika berumur 8 tahun dan menggunakannya sehingga kini walaupun kitab suci itu telah usang. – BERNAMA 21/5/2017

(Visited 1 times, 1 visits today)

Add Comment