Peserta kejohanan muay perlu tutup aurat

KOTA BHARU: Selepas berjaya membuat transformasi baharu dalam sukan bola sepak dengan penampilan berpakaian menutup aurat, kini pakaian itu diperluas pula kepada sukan muay.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmod berkata setiap peserta mesti menutup aurat dari paras pusat hingga lutut.

“Peserta juga perlu menjalani ujian air kencing. Ini antara tujuh syarat yang mesti dipatuhi ke atas semua anak muay yang akan menyertai Kejohanan Muay Kebangsaan 2016,” katanya selepas mesyuarat Exco di sini hari ini.

Lima lagi syarat iaitu wanita tidak dibenarkan berada di atas gelanggang, perjudian dilarang, hanya tiga penyokong dibenarkan berada di bawah gelanggang dan tidak dibenarkan merokok di sekitar gelanggang.

Kejohanan muay akan diadakan sempena Tahun Melawat Kelantan 2016. Ia julungkali diadakan di negeri ini, bermula 22 dan 23 Mac ini bertempat di Stadium Sultan Muhammad Ke IV.
muay thai1
Program itu dianjur Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) dengan kerjasama Persatuan Muay Negeri Kelantan.

Abdul Fattah berkata kejohanan itu melibatkan 10 perlawanan, iaitu lima perlawanan setiap malam.

Katanya juga kejohanan terbabit diadakan bertujuan mendampingi golongan remaja dengan aktiviti sukan dan riadah.

“Sukan mampu menyatukan rakyat di negeri ini tanpa mengira agama dan politik demi kesejahteraan mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2016

(Visited 6 times, 1 visits today)

Add Comment