Pindaan Perlembagaan percubaan merbahaya

SAYA mengambil bahagian untuk turut berucap membahaskan RUU meminda Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang diberi 5 minit itu, saya tekankan kepada beberapa perkara agar Dewan menimbangkan semula usul mengembalikan status Sabah dan Sarawak kepada perjanjian pembentukan Malaysia 1963. Dalam erti kata lain, Sabah, Sarawak dan Neger-negeri Tanah Melayu dikira tiga entiti yang membentuk Malaysia.

Saya merujuk kepada satu kes klasik iaitu The Government of the State of Kelantan v The Government of the Federation of Malaya and Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1963 yang menyaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Thomson telah menyatakan bahawa ‘Sabah, Sarawak dan Singapura telah disatukan (federated) dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu’ dan bukannya ‘disatukan dengan Persekutuan Tanah Melayu’. Ia menunjukkan taraf yang sama di antara Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri lain di Malaysia. Terima kasih Peguam, Wan Rohimi Wan Daud yang telah membekalkan maklumat ini lewat Mesyuarat Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Hujah ini sekali gus menafikan Ahli-ahli Parlimen PH yang berulang kali menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak ialah ‘equal partner‘ (rakan kongsi yang mempunyai hak sama) dengan Semenanjung sebagai satu entiti. Hakikatnya kedua-dua negeri ini mempunyai hak yang sama dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Adakah Majlis Raja-raja telah dirundingi memandangkan ada kemungkinan pindaan ini boleh menyebabkan berkurangnya kuasa Yang di-Pertuan Agung (YDPA) sebagai Ketua Agama Islam di negeri-negeri Sabah dan Sarawak bermula 1976. Jika kembali kepada senario 1963, tidakkah secara tidak langsung menidakkan YDPA sebagai Ketua Agama Islam di dua buah negeri tersebut? Di mana jika ia berlaku, Majlis Raja-raja hendaklah dirundingi.

Mampukah kerajaan berdepan dengan hubungan yang agak tegang dengan Majlis Raja-raja selepas isu penarikan balik Statut Rome dan terkini perletakan jawatan Menteri Besar Johor mencalarkan imej hubungan Kerajaan Malaysia dengan Majlis Raja-raja?

Pindaan yang ingin dibuat ini pada zahirnya memang tiada kaitan dengan perkara tersebut, namun apabila Perdana Menteri menyatakan dalam huraiannya bahawa pindaan ini hanyalah merupakan satu permulaan kepada pindaan-pindaan lain yang pada akhirnya akan membawa Sabah dan Sarawak ‘sepenuhnya’ kepada senario 1963, isu ini dibangkitkan kerana pada tahun 1963, SPB YDPA belum menjadi ketua agama Islam bagi kedua-dua negeri tersebut.

Hasrat saya ialah agar Perdana Menteri semasa penggulungannya menyatakan dengan tegas dan pasti bahawa “Kerajaan sama sekali tidak akan menyentuh keduduka SPB YDPA sebagai Ketua Agama di kedua-dua negeri tersebut sekarang dan pada bila-bila masa akan datang” agar ia tercatat di dalam minit dan hansard.

Bagaimanapun, Perdana Menteri tidak memberikan maklum balas terhadap isu tersebut.

Jika isunya adalah berkaitan dengan pembahagian kek ekonomi yang dilihat tidak seimbang, saya syorkan agar ia diselesaikan melalui amalan federalisme yang dihormati dan tidak perlu melalui pindaan perlembagaan. Berikan Sabah dan Sarawak hak yang mereka patut nikmati kerana keadilan itu meletakkan sesuatu pada tempatnya.

AHMAD FADHLI SHAARI
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 10/4/2019

Sumber: http://www.harakahdaily.net/index.php/berita/15-tanah-air/10584-pindaan-perlembagaan-percubaan-merbahaya

Silakan share jika bermanfaat....Share on Facebook
Facebook
0Share on Google+
Google+
0Tweet about this on Twitter
Twitter
Print this page
Print

Add Comment